AM

JALUR GEMILANG GERGASI TEKAPAN TAPAK TANGAN CETUSAN JIWA MERDEKA SK DARULAMAN HEIGHTS

15/08/2024 01:21 PM

JITRA, 15 Ogos (Bernama) -- Lebih 1,200 pelajar dan petugas Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights dekat sini meraikan semangat 'Jiwa Merdeka' secara kreatif, dengan menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menerusi kaedah tekapan tapak tangan.

Guru Besar Mafezzul Mohamad berkata bendera gergasi berukuran 20 meter panjang dan hampir tiga meter lebar yang dihasilkan dengan kos sekitar RM500 itu kemudiannya digantung di blok utama sekolah bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata inisiatif tersebut dicetuskan demi memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga sekolah, dan bendera gergasi tekapan tapak tangan itu dihasilkan dengan niat membawa sedikit kelainan dalam meraikan sambutan tahun ini.

Mafezzul berkata selain itu pelbagai lagi program turut dirancang bagi meraikan sambutan, antaranya adalah Larian Jiwa Merdeka yang dirancang pada 29 Ogos ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat sekolah itu tahun ini yang turut disertai bekas pemain bola sepak kebangsaan berasal dari Kedah Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan