JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS PESARA TUDM DIDAKWA TERIMA WANG RM300,000 BINA RUMAH

15/08/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar Jeneral mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM300,000 bagi bayaran pembinaan sebuah rumah antara 2021 hingga 2022.

Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, didakwa sebagai penjawat awam iaitu Asisten Ketua Staf Material TUDM, Kementerian Pertahanan telah menerima untuk dirinya pembayaran pembinaan rumah iaitu RM200,000 dan RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju, Jalan Wangsa Delima 11, D’Wangsa di sini pada 22 Dis 2021 dan 15 Mac 2022, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Simret Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000, atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam saya kini merupakan pesara tentera TUDM dan beliau dan isteri menghidap penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan susulan di hospital, selain perlu menanggung keluarga,” kata peguam itu.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Sept ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan