AM

SEPULUH HOTEL AKAN DIBUKA DI P.PINANG SEIRING PENINGKATAN PELANCONG - CHOW

22/08/2024 07:32 PM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 10 hotel baharu dengan kapasiti 4,000 bilik bakal beroperasi di Pulau Pinang dalam tempoh beberapa tahun akan datang seiring peningkatan pelancong ke negeri itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Oleh itu, beliau berkata tidak timbul isu lebihan bekalan hotel di negeri itu. 

"Sebaliknya, apabila persidangan atau konvensyen antarabangsa diadakan, selalunya terdapat kekurangan bilik hotel. Pastinya ada ruang untuk lebih banyak hotel bagi menampung peningkatan jumlah pelawat dan pelancong ke Pulau Pinang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara MTT Hospitality, bahagian dalam MTT Group Companies, dengan Pan Pacific Hotels Group (PPHG).

Pan Pacific Hotels Group akan membangunkan semula Evergreen Laurel Hotel kepada Gurney Bay Hotel, sebuah hotel rakan kongsi Parkroyal. 

Pengerusi MTT Group of Companies Datuk Seri Kenny Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Pan Pacific Hotels Group Choe Peng Sum memeterai perjanjian itu bagi syarikat masing-masing. 

Sementara itu, Chow dalam ucapannya berkata industri pelancongan telah sekian lama menjadi pemacu ekonomi penting bagi Pulau Pinang, yang mewujudkan pekerjaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi.

Pada 2023 sahaja, Pulau Pinang merekodkan hampir tujuh juta ketibaan pelancong, tanda jelas daya tahan dan daya tarikan industri itu akan terus memacu pertumbuhan negeri itu.

Sementara itu, Ong berkata pada Mac tahun ini, MTT Group membeli hotel itu dan memilih PPHG sebagai rakan kongsi ideal untuk meningkatkan hartanah itu ke tahap baharu.

Pada 1 Sept hotel itu secara rasmi akan dikenali sebagai Hotel Gurney Bay dan selepas selesai pengubahsuaian, yang dijangka mengambil masa antara 18 dan 24 bulan, hotel itu akan dijenamakan semula sebagai Hotel Parkroyal Gurney Bay.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan