SUKAN

SUKMA 2024: PULAU PINANG CEMERLANG RAIH EMPAT EMAS HARI TERAKHIR TINJU

23/08/2024 11:11 PM

SRI AMAN, 23 Ogos (Bernama) -- Petinju Pulau Pinang menghadiahkan empat pingat emas selepas mengungguli saingan akhir kategori masing-masing pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Pada aksi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, pingat emas pertama disumbangkan oleh R Pavithran yang menewaskan wakil Selangor Muhammad Irfan Haikal Mohd Fazli 5-0 dalam kategori flyweight (48kg-51kg).

Kategori light heavyweight (75kg-80kg) pula, Muhammad Syafiq Qusyairy Shahmizan menambah koleksi emas kedua apabila mengalahkan Muhammad Azrul Ezad  Zolkfli 4-1.

Danaraj Anantha Selvam meneruskan rentak cemerlang kem tinju Pulau Pinang dengan emas ketika, menundukkan Sharvin Varma Raj Palaniapan dari Melaka 5-0 dalam kategori heavyweight (lebih 86kg) lelaki.

T Sharmela melengkapkan kemenangan Pulau Mutiara malam ini menerusi kategori flyweight (48kg-52kg) wanita selepas menang tipis ke atas wakil tuan rumah Clavia Charlene Sudang Kenedy 3-2.

Sementara itu, tuan rumah menambah satu lagi pingat emas menerusi Frederick Xian Bartholomew Albern yang menepati ramalan menewaskan Joel Evekly Jain dari Sabah 5-0 kategori featherweight lelaki (54kg-57 kg).

Selain Pulau Pinang dan Sarawak, kontinjen Johor dan Perak berjaya membutirkan satu pingat emas pada hari terakhir sukan tinju dipertandingkan di SUKMA 2024.

Johor meraih emas dalam kategori light middleweight (67kg-71kg) menerusi Azib Zafran Zolkarnain yang menewaskan wakil Sabah Jonathan John 5-0 manakala Perak mengungguli kategori light welterweight (60kg-63.5kg) apabila petinjunya Syed Muhammad Hanafi Syed Affindi menewaskan wakil Pahang Muhammad Adib Azryll Kamaruzrizan 4-1.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan