AM

5,000 BEG GUNA SEMULA DIAGIH KEPADA ORANG RAMAI SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2024

13/09/2024 11:37 PM

KOTA KINABALU, 13 Sept (Bernama) -- Sebanyak 5,000 beg guna semula akan diagihkan kepada orang ramai sempena sambutan Hari Malaysia 2024 yang dijadual berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 Sept ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata langkah itu sebahagian daripada inisiatif kementerian itu menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. 

"Usaha ini untuk menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dan membudayakan penggunaan beg guna semula semasa membeli-belah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ia juga antara inisiatif kerajaan dalam mengurangkan kesan pencemaran akibat penggunaan dan pelupusan plastik sekali gus memulihara alam sekitar selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah.

"Salah satu aspek yang ditekankan dalam pelan tindakan tersebut adalah berkaitan pengurusan pencemaran daripada sisa termasuk sisa pepejal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan