EKONOMI

MARGMA MOHON PENGECUALIAN CUKAI TINGKATKAN PENARAFAN ESG SEKTOR SARUNG TANGAN GETAH

02/10/2024 10:05 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berharap kerajaan akan memberikan pengecualian cukai yang lebih baik dalam Belanjawan 2025 untuk meningkatkan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sektor tersebut.

Presidennya Oon Kim Hung percaya dengan menambah baik penarafan ESG dalam sektor itu, ia akan meningkatkan jumlah eksport dan memacu aktiviti ekonomi bagi membantu Malaysia mencapai matlamat neutraliti karbon menjelang 2050.

Beliau berkata ahli-ahli persatuan telah melabur dalam pelbagai inisiatif ESG yang bertujuan meningkatkan prestasi dan penarafan.

“Kami memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pengecualian cukai yang lebih baik untuk kos luar biasa yang ditanggung oleh ahli kami sambil melaksanakan inisiatif yang meningkatkan aspek-aspek ESG mereka selaras dengan matlamat negara.

“Walaupun insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) kerajaan dialu-alukan, kami mencadangkan peningkatan peratusan insentif cukai untuk kecekapan tenaga, sisa dan kitar semula air dalam industri pembuatan sarung tangan getah kepada lebih 60 peratus,” katanya kepada Bernama.

Oon juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan peningkatan insentif fiskal bagi mengurangkan beban kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami percaya ini akan menggalakkan penerimaan ESG yang lebih besar dan memudahkan penjejakan pelepasan, memastikan pematuhan dan kesediaan dengan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah (EU). Pengeksport yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan dan mematuhi CBAM EU menanggung kos tambahan untuk penggunaan tenaga hijau,” katanya.

Presiden MARGMA turut menekankan keperluan untuk penetapan harga gas yang kompetitif yang akan membantu pengeluar tempatan bersaing dengan lebih berkesan, terutamanya terhadap pengeluar dari China yang menggunakan arang batu, yang lebih murah tetapi mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida dengan ketara.

Beliau berkata Tarif Tenaga Hijau yang disemak adalah lebih tinggi daripada surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos bahan Api (ICPT) semasa sebanyak 17 sen setiap kilowatt jam, menjadikan kos penggunaan tenaga hijau lebih mahal.

“Walaupun Malaysia merupakan pengeluar gas asli yang utama, pengilang Malaysia membayar kos gas yang lebih tinggi berbanding dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia,” kata Oon.

Sementara itu, beliau menyatakan sokongan MARGMA terhadap keputusan kerajaan baru-baru ini untuk menyelaraskan pengurusan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Kami mengambil berat peranan kritikal pekerja asing dalam industri ini, kerana mereka menyumbang kepada kecekapan pengeluaran kami dan membolehkan kami menyampaikan produk berkualiti ke 195 negara di seluruh dunia. Pekerja asing ialah sebab utama industri kami berkembang maju dan mereka membentuk sebahagian daripada tenaga kerja kami,” katanya.

Beliau juga berkata sektor itu telah banyak melabur dalam mengautomasikan proses pembuatan dan kini menggaji kurang daripada dua peratus jumlah tenaga kerja asing serta berupaya menghasilkan hampir 50 peratus penggunaan sarung tangan dunia.

“Pemain dalam industri ini juga telah menjadi antara yang pertama mematuhi piawaian buruh di bawah garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), menyelesaikan pemulihan mereka dan melaksanakan yuran pengambilan sifar hutang.

“Sehubungan itu, kami memohon kementerian memberikan fleksibiliti dalam menguruskan tenaga kerja sedia ada dan membenarkan kami meneruskan operasi kami dengan gangguan yang minimum. Kami berharap kerajaan akan membuat keputusan termaklum mengenai perkara ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan