AM

BELANJAWAN 2025: PERLIS HARAP PERUNTUKAN TINGKAT INFRASTRUKTUR PERPARITAN, SALIRAN

02/10/2024 10:47 AM

KANGAR, 2 Okt (Bernama) -- Perlis mengharapkan Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peruntukan khusus untuk meningkatkan infrastruktur perparitan dan saliran terutama bagi kawasan sawah di negeri itu dalam Belanjawan 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razali Saad berkata hal ini kerana masih terdapat masalah sistem perparitan dan saliran dikenal pasti berlaku sama ada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mahupun di luar kawasan itu.

Beliau berkata sistem perparitan dan saliran yang kurang memuaskan dilihat antara punca pergerakan air tidak lancar sekali gus menyebabkan kawasan pertanian berkenaan sering terjejas terutama ketika musim banjir.

“Sekiranya perkara ini berlarutan, maka senario sama akan sentiasa terjadi menyebabkan petani akan menerima musibah akibat sistem perparitan yang tidak memuaskan.

“Jadi, kami mewakil petani dalam kawasan dan luar kawasan MADA berharap belanjawan yang akan dibentangkan kelak dapat khusus kepada perkara berkaitan saliran ini,” katanya kepada Bernama.

Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan dibentang di Parlimen pada 18 Okt ini.

Razali turut berharap belanjawan itu akan mengambil kira keperluan membaiki ban-ban jalan yang rosak di kawasan MADA di Perlis bagi memudahkan proses mengeluarkan hasil padi dari kawasan pedalaman ke jalan utama seterusnya ke kilang.

Sementara itu, beliau berkata banjir kira-kira dua minggu lepas di negeri ini menjejaskan 432.9 hektar kawasan sawah dengan melibatkan 256 petani dan kerugian dianggar RM3.5 juta setakat ini.

Proses mengumpul data berkaitan sawah terjejas kerana banjir, katanya sedang dilakukan hingga Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan