AM

BELANJAWAN 2025: NELAYAN ZON C2 MOHON SUBSIDI DIESEL, PETROL

07/10/2024 05:25 PM

KUALA TERENGGANU, 7 Okt  (Bernama) -- Kerajaan diharap mempertimbangkan pemberian subsidi diesel dan petrol kepada nelayan kelas Zon C2 (Perikanan Tangkapan Laut Dalam) yang menjadi penyumbang terbesar untuk hasil tangkapan ikan di Terengganu. 

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (PENENTU) Mat Yassim Mohamed berkata ketika ini kumpulan itu perlu membayar RM3.15 hingga RM3.20 seliter bagi setiap pembelian diesel dan berharap ada khabar gembira yang bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, 18 Okt ini. 

“Kumpulan itu penyumbang terbesar untuk hasil tangkapan ikan di negeri berkenaan iaitu kira-kira 50 peratus manakala baki terdiri campuran hasil tangkapan nelayan zon A, B dan C.

“Kalau kerajaan boleh beri subsidi kepada mereka untuk hanya membayar RM2.50 seliter pun sudah memadai,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Pengusaha bot Zon C2 tidak mendapat harga diesel bersubsidi kerana dikategorikan sebagai bot nelayan komersial yang menyebabkan mereka perlu membeli diesel pada harga industri. 

Mat Yassim berkata kerajaan tidak perlu khuatir kerana kini terdapat kerjasama pemutihan antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bertanggungjawab memantau jumlah pulangan ikan oleh kumpulan nelayan ini bagi mengelak penyelewengan seperti yang berlaku semasa pemberian subsidi sebelum ini.

Beliau berkata pemantauan itu dibuat berdasarkan perbandingan tangkapan ikan dibawa balik dengan kuota pengisian minyak yang diberikan. 

“Sebelum ini, mereka dapat kuota subsidi untuk isi diesel bersubsidi sebanyak 25,000 liter. Tapi, ikan yang dibawa balik tidak sampai satu tan atau kualiti ikan rendah, menyebabkan subsidi ini dibatalkan. Tetapi sekarang, kita sudah kenal pasti nelayan C2 ini ialah nelayan tempatan yang betul-betul buat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 6,060 nelayan berdaftar dengan PENENTU berharap pemberian subsidi sebanyak RM1.65 sen seliter kepada nelayan zon A, B dan C dikekalkan. 

Beliau berkata kos bahan bakar menjadi igauan buat kebanyakan nelayan di kala tangkapan ikan ketika ini tidak menentu selain permintaan pengguna juga semakin berkurang.

Kerajaan juga diharap terus menyalurkan elaun sara hidup RM300 sebulan kepada nelayan tulen untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan