DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TIDAK BERUBAH

09/10/2024 07:02 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tidak berubah hari ini susulan pendekatan berhati-hati pelabur yang menjejaskan pasaran di tengah-tengah prestasi bercampur-campur bursa serantau, kata seorang penganalisis. 

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.71 mata, atau 0.04 peratus, kepada 1,634.91.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.04 mata kepada 1,637.66, bergerak antara paras 1,634.91 dan 1,642.29 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 566 berbanding 548, dengan 494 kaunter tidak berubah, 816 tidak diniagakan dan 20 digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.22 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Khamis dan minit mesyuarat September Rizab Persekutuan AS (Fed) lewat malam ini, yang akan menyediakan petunjuk seterusnya mengenai trajektori penurunan kadarnya.

"Sementara itu di China, kerajaan dijangka mengumumkan (pada Sabtu) pakej rangsangan fiskal utama yang diunjur (bernilai) antara dua dan tiga trilion yuan," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau mengekalkan pendekatan belian berhati-hati bagi bursa tempatan dalam keadaan sentimen yang bercampur-campur.

"Bagaimanapun, aliran masuk dana asing boleh menandakan potensi anjakan positif. Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan kami tidak berubah antara 1,630 dan 1,650," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.50, CIMB menokok tujuh sen kepada RM8.03, Tenaga Nasional melonjak 24 sen kepada RM14.42.IHH manakala Healthcare susut tiga sen kepada RM7.22 dan Petronas Chemicals turun 20 sen kepada RM5.60.

Dalam kalangan kaunter cergas, Crest Group, TWL Resources, Hong Seng dan  Alpha IVF tidak berubah masing-masing pada 35 sen, 2.5 sen, satu sen dan 35 sen, manakala 99 Speed ​​Mart meningkat tiga sen kepada RM2.49.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 1.64 mata kepada 12,270.51, Indeks FBMT 100 naik 6.06 mata kepada 11,968.83 dan Indeks FBM 70 menokok 50.77 mata kepada 17,505.67.

Indeks FBM ACE meningkat sebanyak 7.36 mata kepada 5,160.02 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 15.29 mata kepada 12,166.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 43.35 mata kepada 19,245.69, Indeks Perladangan susut 41.45 mata kepada 7,172.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.34 mata kepada 175.28 manakala Indeks Tenaga berkurangan 11.72 mata kepada 884.06.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.69 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran tidak berubah pada 1.06 bilion unit bernilai RM137.28 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM153.68 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 461.09 juta unit bernilai RM155.36 juta daripada 583.74 juta unit bernilai RM178.93 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 516.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (270.11 juta), pembinaan (134.69 juta), teknologi (194.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.39 juta), hartanah (204.16 juta), perladangan (33.88 juta), REITs (21.56 juta), dana tertutup (350,300), tenaga (114.44 juta), penjagaan kesihatan (53.90 juta), telekomunikasi dan media (25.81 juta), pengangkutan dan logistik (31.8 juta).), utiliti (43.33 juta) dan amanah perniagaan (576,200 juta).

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan