AM

EMPAT STRATEGI TINGKAT PRESTASI PELAKSANAAN PROJEK PERSEKUTUAN DI SARAWAK - KSN

10/10/2024 03:12 PM

KOTA SAMARAHAN, 10 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menggariskan empat strategi bagi meningkatkan prestasi pelaksanaan projek kerajaan Persekutuan di Sarawak. 

Beliau berkata strategi berkenaan merangkumi pemantauan dan penilaian berterusan; latihan dan pembangunan kapasiti; memperkukuh kerjasama antara agensi serta penglibatan komuniti setempat. 

“Pemantauan secara berkala melalui penggunaan teknologi seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan aplikasi digital boleh membantu kita menjejaki kemajuan projek dan mengesan sebarang masalah yang timbul dengan cepat.

“Selain itu, peningkatan pengetahuan serta kemahiran dalam kalangan penjawat awam Persekutuan haruslah sentiasa ditambah baik melalui latihan dan pelbagai program pembangunan kapasiti,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri Sarawak 2024 di sini hari ini.

Seramai 4,000 anggota perkhidmatan awam Persekutuan dan Sarawak daripada pelbagai agensi dan jabatan menghadiri majlis berkenaan. 

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata koordinasi serta kolaborasi bersama agensi-agensi Persekutuan dan Sarawak memainkan peranan penting dalam menjayakan projek pembangunan di negeri itu. 

Beliau berkata kesemua strategi itu akan turut mengatasi cabaran dihadapi penjawat awam Persekutuan, khususnya dari sudut geografi Sarawak yang mencabar dan kos logistik tinggi dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri berkenaan. 

“Kos untuk menghantar bahan dan peralatan ke kawasan pedalaman sangat tinggi kerana faktor jarak dan keadaan geografi yang sukar dan mencabar, jadi penjawat awam perlu sentiasa kreatif bagi mencari jalan untuk mengoptimumkan kos tanpa menjejaskan kualiti pelaksanaan projek,” katanya. 

Dalam pada itu, Shamsul Azri meminta agensi Persekutuan untuk mengutamakan projek pembangunan infrastruktur seperti menyediakan kemudahan sekolah dan klinik kesihatan yang perlu diberikan perhatian di Sarawak.

Bagi memastikan keselesaan pelajar sekolah, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM688 juta pada tahun ini untuk melaksanakan projek berkaitan, khususnya di sekolah daif dan uzur di seluruh negeri. 

“Bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih kondusif di Sarawak, sejumlah RM539 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan projek seperti pembinaan klinik kesihatan, hospital, perolehan peralatan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di Sarawak,” katanya. 

Menyentuh mengenai agenda pembasmian kemiskinan di Sarawak, KSN berkata berdasarkan statistik data eKasih setakat 1 Okt lepas, sejumlah 93,634 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini telah terkeluar dan melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berbanding 76,313 KIR pada 2023.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama, jumlah miskin tegar berkurangan kepada jumlah 2,884 KIR berbanding 20,312 KIR yang dicatatkan pada 31 Dis 2023. 

“Antara inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan bersama agensi pemberi bantuan di Sarawak yang bertujuan menoktahi sifar miskin tegar termasuk program Didik Kasih MADANI (dKasih) dan program Kasih Ihsan MADANI (i-care4U),” jelas beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan