AM

LKIM GIAT KERJASAMA DENGAN SARAWAK PASTIKAN PENDARATAN IKAN DI TANJUNG BAKO

13/10/2024 06:09 PM

KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan pengusaha bot dan nelayan Bahagian Kuching tidak lagi mendaratkan ikan di jeti persendirian.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata sebaliknya ia perlu dilakukan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako (PPLTB) yang berfungsi sebagai kompleks pendaratan ikan utama. 

“Sebab itu, kita telah buat libat urus dengan pengusaha vesel dan kita bekerjasama dengan kerajaan Sarawak sebab bidang kuasa untuk menutup operasi ini adalah di bawah bidang kuasa negeri.

“Ini bukanlah bermaksud menutup terus operasi (jeti persendirian), kapal masih boleh berlabuh di situ tetapi pendaratan ikan perlu dibuat di Tanjung Bako, bukan di tempat mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Rahmah Mesra MADANI bersama Persatuan Nelayan Sri Muara di sini hari ini. 

Beliau berkata pendaratan perlu dilakukan supaya PPLTB tidak menjadi projek gajah putih yang mengakibatkan kerugian bagi pihak kerajaan.

Muhammad Faiz berkata kemodenan PPLTB menjadikan Sarawak berpotensi sebagai antara negeri peneraju industri perikanan.

“Kita memerlukan lebih sokongan daripada vesel besar di sekitar Kuching untuk memastikan pendaratan ikan berlaku secara aktif di PPLTB, selari dengan kemodenan kemudahan di situ.

“Kita berhasrat untuk melaksanakan beberapa pembaharuan. Sebenarnya, kita telah menetapkan syarat kapal yang mendaratkan ikan di Tanjung Bako (PPLTB) sahaja boleh beli minyak subsidi,” katanya. 

Statistik LKIM bagi 2022 dan 2023 menunjukkan Perak mencatatkan jumlah pendaratan ikan tertinggi iaitu 450,494 tan, diikuti Sabah (247,037 tan) dan Pahang (189,913 tan) manakala Sarawak menduduki tangga keenam iaitu 83,901 tan.

Terdahulu, Muhammad Faiz menyampaikan beberapa bantuan yang keseluruhannya bernilai RM461,100 antaranya Elaun Sara Hidup Nelayan, Program Peningkatan Kapasiti Nelayan B40 dan Tabung Bantuan Pelajaran Anak-Anak Nelayan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan