AM

TEST- PENGEMBARA NIKMATI PEMERIKSAAN IMIGRESEN TANPA PASPORT DI LAPANGAN TERBANG CHANGI - ICA

15/10/2024 10:48 AM

SINGAPURA, 31 Julai (Bernama) -- Pengembara ke Singapura akan secara beransur-ansur menikmati pemeriksaan imigresen tanpa pasport di Lapangan Terbang Changi bermula Ogos sebagai sebahagian daripada inisiatif Konsep Pelepasan Baharu (NCC) untuk pendigitalan pelepasan sempadan.

Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata di bawah inisiatif pemeriksaan tanpa token NCC, penduduk Singapura boleh melepasi pemeriksaan imigresen menggunakan biometrik wajah dan iris semasa ketibaan dan pelepasan, manakala pengembara asing hanya semasa pelepasan.

“Kami akan menjalankan ujian langsung untuk penduduk Singapura yang tiba untuk menikmati pemeriksaan tanpa token di lorong automatik terpilih di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi mulai 5 Ogos.

Pemeriksaan tanpa token akan dilaksanakan secara beransur-ansur di semua terminal di Lapangan Terbang Changi menjelang September 2024 dan Pusat Pelayaran Marina Bay menjelang Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

ICA berkata pemeriksaan tanpa token yang boleh membantu mengurangkan masa pemeriksaan imigresen sebanyak 40 peratus, hanya boleh dilakukan di pusat pemeriksaan udara dan laut kerana pengendali syarikat penerbangan dan kapal akan dapat memberikan manifes lebih awal kepada agensi itu.

Sementara itu, inisiatif pemeriksaan kod respons pantas di pusat pemeriksaan darat Tuas dan Woodlands akan diperluaskan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan kargo menjelang Ogos dan penumpang bas menjelang Disember.

Sebelum ini inisiatif itu diperkenalkan untuk pengembara kereta pada 19 Mac, diikuti pemandu bas pada 15 April. Kini, lebih 70 peratus pengembara kereta dan pemandu bas menggunakan kod QR untuk pemeriksaan imigresen.

ICA berkata inisiatif itu akan menjimatkan masa pengembara kira-kira 30 peratus daripada masa yang diambil untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Pengembara masih perlu membawa pasport mereka kerana ia diperlukan di luar negara dan untuk tujuan pengesahan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan