EKONOMI

MTA PERKENAL KAD SKOR MAQASID SYARIAH UNTUK TINGKAT IMPAK, KEMAMPANAN INDUSTRI TAKAFUL

15/10/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melancarkan Kad Skor Maqasid Syariah (MSS), satu inisiatif perubahan yang bertujuan menilai impak dan kemampanan industri.

Dirasmikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali, kad skor ini selari dengan prinsip Maqasid al-Syariah yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan aspek-aspek utama seperti iman, kehidupan, harta, keturunan dan akal.

Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata industri takaful telah mencapai tahap matang apabila menyepadukan prinsip Maqasid al-Syariah ke dalam model perniagaan yang bukan sahaja memenuhi jangkaan pengawalseliaan, tetapi juga meningkatkan asas etika operasi takaful.

"Saya percaya kami telah bergerak lebih daripada sekadar membina asas industri untuk mencipta nilai nyata bagi pihak berkepentingan kami dan menyumbang kepada agenda nasional, termasuk menambah baik rangkuman kewangan serta meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

"Ketika industri menghadapi gangguan teknologi, perubahan kawal selia dan jangkaan pelanggan yang semakin berkembang, komitmen terhadap aspirasi rangkuman kewangan negara, nilai bersama dan memastikan perlindungan serta kesejahteraan masyarakat tetap menjadi keutamaan dalam agenda kami," katanya dalam ucapan pada Value-Based Intermediation for Takaful (VBIT) Conference 2024, di sini hari ini.

VBIT bertemakan “Melangkaui Sempadan: Maju Takaful untuk Pertumbuhan Mampan”.

MSS direka untuk memastikan produk dan perkhidmatan takaful mematuhi piawaian etika dan operasi, meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan, mendorong pertumbuhan pelanggan selain menggalakkan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan patuh syariah.

Ia tersedia untuk pengendali takaful atas permintaan melalui MTA.

VBIT yang disokong oleh konsep "Nilai Bersama, Kemakmuran Bersama", adalah penting dalam mengutamakan implikasi etika di samping prestasi kewangan.

Elmie juga menekankan langkah-langkah inovatif yang diambil oleh pengendali Takaful seperti pembangunan produk perlindungan yang mampu milik dan boleh diakses, termasuk penyelesaian mikrotakaful yang disasarkan kepada segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Tahun ini, MTA bercadang untuk menggabungkan pendekatan kemampanan dan dermawan dalam tawarannya dengan memperkenalkan produk takaful campuran yang menyepadukan elemen Sadaqah, Waqf, dan Hibah," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata program ini menandakan pencapaian penting dalam komitmen berterusan industri takaful, selaras dengan Teras Strategik 5 Pelan Tindakan Sektor Kewangan termasuk “Memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan kewangan Islam”, dengan memacu pertumbuhan dan pembangunan mampan dalam sektor ini.

Katanya, MTA menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri takaful untuk terus terlibat secara aktif dalam perbincangan dan berkongsi amalan terbaik bagi memajukan industri.

 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan