AM

RM1 BILION UNTUK IKHTIAR SEJATI MADANI - PM

18/10/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI)  bakal diperhebat pada tahun hadapan dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion disediakan untuk inisiatif itu menerusi Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata ia meliputi peruntukan RM600 juta bagi merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli serta RM200 juta bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara.

“Sementara itu, RM100 juta diperuntuk kepada universiti awam untuk turut melaksanakan Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memberi khidmat seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata RM100 juta daripada peruntukan RM1 bilion untuk Ikhtiar SejaTi MADANI itu juga akan digunakan bagi memperkasa komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi.

SejaTi MADANI adalah inisiatif baharu Kerajaan MADANI bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Perdana Menteri berkata SejaTi MADANI adalah suatu anjakan bagi memperkasa rakyat untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka dan kerajaan hanya bertindak memantau serta memberi galakan kerana kekuatan adalah daripada peringkat akar umbi.

Anwar berkata beliau turut menerima baik tawaran syarikat sawit utama seperti KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations yang sudi untuk mengambil pekebun kecil sawit angkat yang berjiran dengan ladang mereka.

Beliau berkata syarikat terbabit sedia menyediakan bantuan meliputi bekalan benih terkini dan baja terbaik serta pematuhan piawaian mampan.

Perdana Menteri berkata setakat ini, SejaTi MADANI berjaya mewujudkan lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan misalnya Kampung Tebuk Haji Dollah di Selinsing, Perak menggunakan tiga dron untuk membaja dan meracun 600 ekar sawah sekali gus menjimatkan masa petani kepada 20 minit berbanding  90 minit sebelum ini. 

“Kampung Kuala Bibang di Semporna telah membangunkan teknologi pengeringan hasil laut yang memendekkan masa memproses hasil laut kepada 3 jam berbanding 3 hari secara tradisional. Ini meningkatkan hasil penduduk kepada RM25,000 sebulan,” katanya. 

Beliau berkata pada 2025, lebih banyak pengurusan tertinggi jabatan akan dilibatkan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI dengan universiti dan institusi TVET juga dilibatkan bagi memberi khidmat di peringkat komuniti.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan