FOKUS BERNAMA

IMPAK PEMULIHAN KEBUN KOKO PERKASA PEKEBUN KECIL DI SABAH

19/10/2024 09:45 AM


From Rohana Nasrah

Aroma coklat semerbak menerjah deria bau tatkala piring berisi kuih penyaram, sejenis juadah tradisional Sabah, disua kepada penulis.

“Ini kuih penyaram, saya bikin (buat) pakai (guna) tepung beras dan serbuk koko. Cubalah,” pelawa Magret Darusin, menguntum senyum.

Mendengar penjelasan Magret, timbul rasa ingin tahu penulis tentang kuih yang sinonim dengan masyarakat Bajau itu, kerana lazimnya kuih penyaram - berbentuk ala UFO sebesar piring kecil -  diperbuat daripada adunan tepung beras, tepung gandum, santan dan gula pasir. 

“Tepung beras ini daripada beras merah keladi yang ditanam sendiri, serbuk koko pun kami proses sendiri,” tambah wanita berusia 55 tahun itu yang mengusahakan tanaman koko dan padi keladi organik di Kampung Tambatuon, di sini.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, lantaran perut sudah mula berbunyi,  penulis berserta jurugambar Zamain Singkui dan jurukamera Bernama TV Asfarizam Abdullah pantas mencapai kuih itu yang dihidangkan bersama-sama minuman coklat panas, 

Keletihan menempuh perjalanan sejauh 71 kilometer dari Kota Kinabalu ke kampung ini lenyap ketika tunas rasa kami menikmati keenakan kuih penyaram berperisa coklat, sementara mata pula dijamu keindahan landskap kampung yang berlatar belakang kehijauan rimba dan aliran Sungai Kadamaian dari Gunung Kinabalu. 

 

PEMULIHAN KEBUN

Berkongsi kisah, Magret berkata beliau mula menghasilkan sendiri serbuk koko dan tepung beras merah selepas mengusahakan kedua-dua tanaman tersebut, masing-masing pada 2018 dan 2019.

Menurutnya, beliau terlibat dalam usaha memulihkan kebun koko di kampung itu pada 2018, menerusi bimbingan  Persatuan Usahawan Sosial Sabah (Sosea).

pic-2

Badan bukan kerajaan itu yang antara lain menumpukan usaha memperkasa komuniti  menerusi jaringan kerjasama strategik, mengorak langkah menyuntik kembali semangat pekebun koko Kampung Tambatuon tentang potensi tanaman tersebut dalam meningkatkan pendapatan, sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Ternyata kehadiran Sosea di kampung yang turut terkenal sebagai destinasi pelancongan itu membawa perubahan besar apabila Magret serta 17 rakan pekebun lain memanfaatkan segala informasi tentang kaedah memulihkan kebun koko yang sudah lama terbiar.

Magret berkata penanaman koko di kampungnya sudah bermula pada 2012, tetapi dihentikan apabila  harga pasaran komoditi itu kurang memberangsangkan.

Kini, beliau yang turut bertanggungjawab mengendalikan Pusat Pemprosesan Koko, Kelompok Koko Kampung Tambatuon - satu projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang disediakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) - sudah mampu menarik nafas lega berikutan lonjakan harga koko di pasaran.

 

LONJAK PENDAPATAN

Pada Seminar Kemampanan  Rantaian Bekalan Koko Menerusi Teknologi Canggih: Perundingan dengan Industri mengenai  Teknologi Canggih Koko 2024 di Kota Kinabalu, Februari lepas, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin dilaporkan berkata  harga biji koko di Malaysia boleh mencecah RM17 sekilogram.

Satu peningkatan harga lebih sekali ganda berbanding hanya sekitar RM8 pada 2022.

Berdasarkan harga semasa biji koko kering yang dipaparkan di laman sesawang LKM pula, purata harga komoditi itu adalah sekitar RM21,100 hingga RM21,900 setiap tan metrik, dengan kualiti serta gred biji koko ditentukan menerusi Standard Malaysian Cocoa (SMC).

Bagi Magret, kenaikan harga koko tidak hanya memberi motivasi dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti biji koko tetapi juga untuk beliau terus kekal bersemangat mengusahakan tanaman komoditi itu dengan lebih baik bersama-sama rakan pekebun lain.

Beliau mengambil langkah proaktif mempelbagaikan produk berasaskan koko dengan menghasilkan serbuk koko, bar coklat dan koko urai bersama-sama penduduk kampung khususnya suri rumah, bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan membantu ekonomi keluarga.

Menurut Magret, kesemua produk koko itu dijual kepada orang perseorangan dan sebuah syarikat pengeluar coklat tempatan, bergantung pada tempahan.

“Contohnya koko urai. Paling banyak diambil hingga 30 kilogram sebulan, tetapi adakalanya (tempahan) tiga bulan sekali. Anggaran pendapatan sebulan kira-kira RM6,000 untuk koko urai sahaja,” katanya.

 

PROSPEK

Melihat prospek cerah, Magret menyimpan hasrat untuk memperluas kawasan kebun koko miliknya, daripada 300 pokok sekarang kepada 2,000 batang, melibatkan kawasan seluas dua hektar bagi merealisasikan impian menjadikan kampung itu sebagai pengeluar coklat dengan jenama sendiri.

pic-3

Katanya, pada masa ini kebun beliau dapat menghasilkan sekitar 100 kg buah koko setiap kali tuaian yang dilakukan pada Mei dan Disember. 

"Bagi menjadikan kampung ini pengeluar coklat, kami dengan kerjasama Bank Islam, membangunkan sebuah kilang mini yang akan siap tidak lama lagi.

“Malah, kami juga akan ada sebuah kilang mini bagi memproses beras merah, dan seterusnya mempelbagaikan produk makanan yang dihasilkan,” kata beliau.

Pada masa sama, Magret berkata masih banyak perlu dilakukan termasuk menyediakan mesin memproses koko yang lengkap - daripada mengupas, mengopek dan memanggang hingga menjadi coklat.

“Sekiranya kami dapat menghasilkan coklat jenama sendiri, coklat itu boleh dijadikan satu produk cenderahati memandangkan kampung kami adalah tempat pelancongan,” katanya yang turut memiliki lesen sebagai pemproses biji koko basah daripada LKM.

Magret turut menzahirkan penghargaan kepada LKM kerana banyak memberi tunjuk ajar, antaranya tentang kaedah pemangkasan pokok koko, pemotongan buah koko hingga cara pembajaan yang membantu beliau dan rakan pekebun lain meningkatkan lagi kualiti biji koko mereka.

 

PERKASA PEKEBUN

Sementara itu, Penasihat Sosea Ida Faranina Othman berkata mereka antara lain memainkan peranan membantu usahawan sosial berkecimpung dalam industri koko, selain berusaha mendapatkan dana daripada pihak korporat bagi menjalankan kerja-kerja lapangan melibatkan penanaman komoditi tersebut.

Borneo Cocoa dan Koko Loko merupakan antara perusahaan sosial yang bergiat aktif di bawah Sosea.

Mesra disapa Nina, beliau berkata Borneo Cocoa menumpukan usaha memperkasa pekebun koko melalui pelbagai inisiatif dan program bagi membantu golongan berkenaan menghidupkan semula kebun koko yang sudah lama terbiar.

Borneo Cocoa turut menjadi platform menyokong pembangunan ekonomi petani dengan melaksanakan promosi kelestarian dan kemakmuran dalam komuniti pertanian koko di Sabah.

Koko Loko pula lebih kepada usaha menghasilkan produk hiliran berasaskan koko, katanya, menambah Negeri di Bawah Bayu itu bertuah kerana dianugerahi tanah subur.

 

MESRA ALAM

Ida Faranina  berkata antara badan korporat yang tampil menyokong misi mereka ialah Yayasan Hasanah, namun lebih banyak dana diperlukan bagi membolehkan Sosea membantu lebih ramai pekebun koko memulihkan perusahaan mereka dan seterusnya meningkatkan pendapatan.

“Selama empat tahun berkecimpung dalam industri ini, memang nampak ada kenaikan pendapatan. Contohnya Magret Darusin. Sebelum ini, dia hanya seorang petani padi, tetapi sekarang dengan penanaman koko yang dihidupkan semula, ada pertambahan pendapatan,” tambah beliau.

pic-4

Selain Kampung Tambatuon, Sosea turut menggerakkan usaha pemulihan kebun koko di Kampung Bundu Paka dan Kampung Bongol.

“Sekarang kami fokus lebih kepada penanaman mesra alam bagi menaikkan nilai biji koko pekebun kecil, kerana ketika ini, masyarakat lebih mengutamakan kesihatan dan produk mesra alam. Inilah tujuan kami sebagai sebuah perusahaan sosial,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut menyarankan pekebun kecil koko menghasilkan baja organik sendiri menerusi tunjuk ajar pakar berkaitan tanah untuk digunakan ke atas tanaman mereka.

 

TEKNOLOGI

Penggunaan teknologi dron juga diterapkan kepada pekebun koko bagi kerja pemetaan keluasan kebun koko, jumlah pokok dan biji koko yang boleh dihasilkan.

“Kami dapati ramai petani koko dalam kalangan petani berumur dan anak mereka jarang ada yang mengambil alih kebun. Mungkin dengan memperkenalkan penggunaan teknologi, mereka akan mula berminat (untuk berkecimpung dengan tanaman komoditi ini),” katanya.

Buat masa ini, Ida Faranina berkata pihaknya bekerjasama dengan 30 pekebun kecil koko Sabah dan menyasarkan untuk memperkasa sekurang-kurangnya 100 orang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau turut berharap kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kemampuan pekebun kecil tempatan menghasilkan biji koko berkualiti dapat ditingkatkan, kerana rata-rata produk koko import yang dijual pada harga amat tinggi, sebenarnya dihasilkan menggunakan biji koko dihasilkan di negara ini.

“Kalau kita boleh sokong pekebun tempatan untuk menghidupkan semula kebun koko mereka dan bantu mereka dengan membeli (produk koko) secara langsung daripada mereka, mungkin kita boleh menaikkan balik nama koko di Sabah dan Malaysia,” katanya.

Melihat kemampuan sektor keusahawanan sosial meningkatkan pertumbuhan sosio ekonomi rakyat, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menggalakkan lebih banyak penyertaan serta penglibatan masyarakat, sama ada di kampung mahupun bandar, dalam gerakan itu.

Komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesedaran rakyat tentang  kepentingan keusahawanan sosial dapat dilihat menerusi Dasar Keusahawanan Sosial Negara 2030, selain Hari Perusahaan Sosial, antara lain memberi pendedahan kepada orang ramai serta komuniti perniagaan tentang impak perusahaan sosial.

"Kementerian juga memperkenalkan beberapa kategori penarafan perusahaan sosial bagi membolehkan mereka mendapat bantuan berkaitan pembiayaan, dan geran disediakan bersesuaian dengan perusahaan sosial dijalankan. Ini antara inisiatif pada tahun ini agar lebih ramai rakyat berkecimpung dalam bidang itu.

"Saya sangat menggalakkan rakyat Sabah kerana perusahaan sosial ini penting bukan hanya menjadi satu punca pendapatan tetapi bagaimana kita mengembalikan keuntungan perkhidmatan kepada masyarakat yang terlibat dalam persekitaran berkenaan," katanya.

Ewon turut menyarankan pekebun kecil, sama ada yang terlibat dalam industri koko mahupun tanaman komoditi lain di Sabah, untuk memperkasa gerakan koperasi.

 

KOMITMEN KERAJAAN 

Usaha kerajaan persekutuan dalam melonjakkan lagi pertumbuhan industri koko juga tidak kurang hebatnya apabila Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi LKM, antara lain melaksanakan program pembangunan seperti pemulihan kebun koko dan pembinaan kilang mini pemprosesan biji koko.

Aspirasi itu dizahirkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika merasmikan Kursus Teknologi Pascatuai dan Pemantapan Kelompok Koko dan Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau, dekat Keningau, Julai lepas.

Industri koko Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan pendapatan eksport mencapai RM4.8 bilion hingga Mei bagi tahun ini.

Jumlah itu adalah 58 peratus daripada pendapatan eksport RM8.2 bilion yang dicatatkan pada keseluruhan tahun lepas, sekali gus menunjukkan kepentingan industri tersebut dalam memangkin ekonomi negara.

Kawasan pedalaman Sabah menunjukkan pencapaian penghasilan koko yang baik dengan sumbangan 37.5 peratus kepada jumlah pengeluaran koko negara.

Kementerian itu turut komited mendukung inisiatif LKM dalam memastikan industri koko berdaya saing dan lebih produktif sejajar dengan sasaran ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030.

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan