AM

MALAYSIA, CHINA KOMITED TINGKAT KERJASAMA PRAKTIKAL MARITIM

19/10/2024 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Malaysia dan China menyatakan komitmen bersama untuk meningkatkan lagi kerjasama praktikal maritim antara kedua-dua negara.  

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu dibincangkan semasa dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim di Laut China Selatan selain berkongsi pandangan berkaitan isu semasa maritim.

Dialog anjuran MKN di Langkawi, Kedah berlangsung pada Rabu lepas itu, dihadiri delegasi Malaysia daripada pelbagai kementerian dan agensi diketuai Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin manakala China diketuai Timbalan Menteri Luar Negerinya Chen Xiaodong.

Menurut kenyataan itu, penganjuran dialog dua hala berkenaan adalah selaras dengan komitmen kedua-dua negara seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bersama untuk memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif ke Arah Komuniti China-Malaysia dengan Masa Depan Bersama semasa lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia pada 18 hingga 20 Jun lepas.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan