AM

PROJEK JALAN ANTARA ICQS BUKIT KAYU HITAM DENGAN CIQ SADAO PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-THAILAND

24/10/2024 07:54 PM

ALOR SETAR, 24 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan laluan jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand, akan memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand serta memudahkan pergerakan ekonomi dan sosial di sempadan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek tersebut juga merupakan manifestasi keprihatinan kementerian itu dalam memastikan keselamatan sempadan sentiasa terjaga, selain meningkatkan kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk pasukan keselamatan negara.

“Laluan ini bukan sahaja akan memudahkan aliran keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga akan meningkatkan keselamatan serta kelancaran pergerakan kenderaan berat, bermuatan dan awam di kawasan sempadan yang strategik ini,” katanya dalam catatan di Facebook mengenai tinjauannya ke tapak projek tersebut, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman, dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Razman Abu Samah.

Menurut Saifuddin Nasution, antara skop utama projek itu adalah pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala sepanjang 900 meter dan pembinaan Jalan Perkhidmatan Piawaian sepanjang 300 meter yang akan menghubungkan jalan utama ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam.

Selain itu, projek terbabit melibatkan meroboh dan membina semula 10 blok bangunan di Kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan, Bukit Kayu Hitam dan pembinaan sebuah Pos Kawalan Akhir dan Pintu Gerbang Berbumbung yang baharu, yang bakal menjadi simbol penyambutan antara dua negara jiran.

“KDN akan terus komited dalam memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa berada di tahap terbaik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, ihsan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.

Pada 27 Nov 2023, ketika lawatan seharinya ke Sadao, Thailand Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan jajaran jalan baharu itu bagi mempertingkatkan aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan