EKONOMI

JUWAI IQI: MODAL DARI CHINA BERALIH DARIPADA EKONOMI G7, KEMBALI KE ASIA

29/10/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Modal dari China semakin beralih daripada ekonomi Kumpulan Tujuh (G7) dan kembali ke Asia terutama Asia Tenggara, dengan Malaysia dan negara jiran adalah sebahagian daripada penerima manfaat terbesar berikutan langkah itu, kata kumpulan teknologi hartanah antarabangsa Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata pada tahun lepas, syarikat China memperuntukkan lebih US$1 bilion (US$1=RM4.35), masing-masing ke Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Singapura dalam sektor seperti automotif, hartanah, semikonduktor dan bahan mentah.

“Hampir 99.5 peratus syarikat China telah mengubah tumpuan kepada pelaburan baharu, dengan membina kapasiti baharu untuk meluaskan kehadiran di lapangan bagi jangka panjang berbanding pengambilalihan besar dan sekali sahaja sebelum ini.

“Peralihan kepada pelaburan baharu adalah berita baik untuk Malaysia memandangkan projek ini bukan sahaja membawa masuk modal, malah kepakaran, inovasi dan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Juwai IQI, pelaburan langsung asing (FDI) China di Malaysia mencapai RM126.4 bilion (US$30 bilion) sejak 15 tahun lepas.

“Sejak pandemik, aliran pelaburan telah berubah dengan ketara. Pada akhir 2023, pelaburan China mencecah paras tertinggi selepas COVID-19 di Malaysia, dan momentum itu berterusan sehingga awal 2024.

“FDI China melonjak, tetapi turut berubah dengan cara yang mengejutkan. Ini amat penting di Malaysia memandangkan saiz dan kesan ekonomi daripada pelaburan ini. Angka ini menunjukkan perniagaan sebenar yang menyediakan kedai, mewujudkan pekerjaan dan memacu pertumbuhan," katanya.

Selain itu, Kashif berkata perusahaan besar milik kerajaan China semakin tidak ketara, sebaliknya syarikat swasta yang tersenarai dan tidak tersenarai, membentuk sebahagian besar daripada pelaburan China di Malaysia hari ini.

"Syarikat swasta melihat Malaysia sebagai aspek penting dalam strategi pertumbuhannya. Mereka menubuhkan operasi di sini, menggaji kumpulan bakat tempatan, dan mempertaruhkan sebahagian besar daripada keupayaan global mereka untuk mengeluarkan barangan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan, khususnya pembuatan semikonduktor paling banyak meraih manfaat daripada lonjakan FDI China di Malaysia memandangkan negara itu telah menjadi penggiat semikonduktor global, dan membekalkan lebih banyak semikonduktor ke Amerika Syarikat berbanding negara lain.

Beliau berkata beribu-ribu pekerjaan baharu sedang diwujudkan dalam industri ini, termasuk kilang dan bidang kemahiran tinggi lain seperti kejuruteraan dan pengurusan rantaian bekalan.

"Kira-kira setengah juta individu telah bekerja dalam industri elektronik, justeru industri semikonduktor akan memacu pertumbuhan paling besar dalam pekerjaan elektronik sepanjang dekad akan datang," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa peningkatan pelaburan China dalam perniagaan dan pembuatan baharu di Malaysia telah menjejaskan ketara pasaran hartanah, meningkatkan permintaan terhadap tanah dan kemudahan bagi syarikat-syarikat berkenaan.

"Pulau Pinang adalah pusat tumpuan industri semikonduktor Malaysia, tetapi ia bukan satu-satunya negeri yang menerima aliran masuk yang ketara dalam FDI China.

"Dalam kesemua negeri ini, syarikat China meningkatkan permintaan dalam hartanah perindustrian bagi kilang dan gudang. Oleh itu, kami menjangka zon perindustrian di pelbagai negeri akan berkembang dan hasil kepada pelabur dalam hartanah ini bertambah," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan