KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Diagnosis penyakit mental hanya boleh dibuat oleh pengamal perubatan berkelayakan dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), selaras dengan peraturan dan etika perubatan yang ditetapkan di Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pengamal perubatan berkenaan termasuk pakar psikiatri dan pegawai perubatan yang kompeten dalam menilai keadaan psikologi pesakit.
“Proses diagnosis melibatkan penilaian menyeluruh terhadap sejarah perubatan, gejala dialami serta faktor biologi, psikologi dan sosial pesakit.
“Hanya pengamal perubatan yang diiktiraf oleh MMC mempunyai autoriti undang-undang untuk mengesahkan dan mengeluarkan diagnosis ini, bagi memastikan ketepatan, keselamatan dan kualiti rawatan yang diberikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk C Sivaraj mengenai langkah kementerian dan agensi berkaitan memastikan diagnosis kesihatan mental tidak disalahgunakan dalam sistem perundangan serta keberkesanan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dalam menangani penyalahgunaan kuasa, peminggiran individu dan ketidakadilan sosial yang berpunca daripada diagnosis kesihatan mental secara cuai.
Lukanisman berkata antara langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan bagi memastikan diagnosis kesihatan mental tidak disalahgunakan dalam sistem perundangan adalah menetapkan Garis Panduan Diagnosis Penggunaan Manual Antarabangsa seperti Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) dan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) dalam memberikan panduan jelas dan berlandaskan bukti.
Selain itu, beliau berkata Akta Kesihatan Mental 2001 telah menyediakan kerangka kerja komprehensif bagi penjagaan, rawatan, kawalan, perlindungan dan pemulihan individu yang mengalami kecelaruan mental serta mengawal selia penubuhan hospital psikiatri kerajaan dan swasta, rumah jagaan kejururawatan psikiatri, serta pusat kesihatan mental masyarakat.
Beliau berkata pelbagai latihan dalam bentuk seminar atau kursus serta advokasi berterusan dipantau melalui Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) diadakan bagi memastikan pengamal perubatan sentiasa menjalani latihan berterusan sebelum kelulusan pendaftaran sijil amalan tahunan diberikan.
Menurutnya, pengamal perubatan harus mematuhi etika untuk menjaga kerahsiaan maklumat pesakit iaitu diagnosis kesihatan mental tidak boleh dikongsi tanpa kebenaran kecuali dalam keadaan tertentu seperti ancaman kepada keselamatan.
“Dialog antara agensi seperti Bahagian Hal-Ehwal Undang-undang, Pejabat Setiausaha Negeri dan KKM serta Institusi Mental telah dilakukan bagi membina hubungan antara KKM dan perundangan untuk memahami dan menangani isu kesihatan mental dalam perundangan.
“Dengan langkah ini, KKM dan agensi berkaitan dapat melindungi hak asasi individu sambil memastikan bahawa sistem perundangan berfungsi dengan adil dan saksama,” katanya.
Mengenai DSN 2030, beliau berkata ia dilancarkan pada 21 Okt 2024 untuk menetapkan hala tuju sosial negara serta mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu sosial secara holistik dan komprehensif.
Beliau berkata satu daripada elemen dalam DSN 2030 ialah kesedaran kesihatan mental dengan menggalakkan program kesedaran dan sokongan untuk meningkatkan pemahaman serta mengurangkan stigma terhadap gangguan mental.
“Hal ini secara tidak langsung terkait dengan kapasiti dan kelayakan pengamal perubatan kita yang melakukan diagnosis bagi pesakit mental untuk kegunaan sistem perundangan,” katanya.
-- BERNAMA