JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT LELAKI DAN SEORANG WANITA VIETNAM DIDAKWA EDAR, MILIKI DADAH

08/07/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Empat lelaki dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di dua Mahkamah Majistret Ampang, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di sebuah kondominium, bulan lepas.

Mereka ialah tiga lelaki warga Taiwan, iaitu Lu Jui Tse, 27, Chang Heng Pin, 37, dan Hsu Chia Kuei, 28, seorang wanita Vietnam Do Thi Thanh Thanh, 20, serta lelaki warga tempatan, Yee Wei Keh, 37.

Di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, empat tertuduh, iaitu Lu, Chang, Yee dan Do didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran berat 2,767 gram di sebuah kondominum di Jalan Nipah, di sini pada 4.15 petang, 25 Jun lepas.

Di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Hsu pula didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (anggaran isipadu 140 mililiter) dan kokain (anggaran berat 56 gram) pada 4.35 petang di tempat dan pada tarikh sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.  

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan maksimum 12 sebatan. 

Hsu juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis anggaran berat 40.68 gram di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga serta tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari dan S. Kirthana manakala peguam R. Maran dan Farra Emira Amir Firdaus mewakili kesemua tertuduh.

Majistret Amalina dan Normaizan menetapkan masing-masing 22 dan 23 Sept ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan kegiatan memproses cecair rokok elektronik (vape) mengandungi dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM21.85 juta dalam dua serbuan berasingan di kondominium yang dijadikan makmal haram di sekitar Ampang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan