DUNIA

PIHAK BERKUASA INDONESIA SAHKAN PENEMUAN BANGKAI FERI

14/07/2025 05:43 PM

 

JAKARTA, 14 Julai (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia telah mengesan bangkai feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam pada malam 2 Julai di Selat Bali berhampiran Ketapang di Banyuwangi, Jawa Timur, menurut pegawai.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata rancangan sedang disusun untuk mengapungkan semula feri itu yang ditemui kira-kira 3.9 kilometer dari lokasi terakhir ia dikesan.

“Operasi pengapungan akan dilaksanakan mengikut prosedur ketat bagi memastikan keselamatan pasukan memandangkan arus bawah laut yang kuat. Kami berharap operasi ini berjalan lancar bagi menyokong siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedudukan feri itu disahkan secara rasmi pada 12 Julai apabila pasukan penyelam yang menggunakan peralatan diubah suai berjaya merakam imej jelas bangkai feri yang terbalik pada percubaan ketiga mereka, termasuk nama kapal, badan dan pintu laluan, menurut laporan Perkhidmatan Maklumat Tentera Laut.

Penemuan itu adalah hasil operasi mencari yang bermula pada 9 Julai, melibatkan Tentera Laut dan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), selepas kapal peninjau hidro-oseanografi KRI Spica-934 mengesan objek bawah air pada kedalaman 50 meter.

Imbasan susulan mengesahkan objek berkenaan sepadan dengan dimensi feri, namun cubaan pada 11 Julai untuk melakukan pemeriksaan menggunakan kenderaan kawalan jauh gagal akibat arus kuat, menurut laporan itu.

Setakat Isnin — hari terakhir operasi SAR bersama melibatkan Basarnas, tentera, polis dan komuniti nelayan tempatan — pasukan berjaya menemukan 48 orang, termasuk 30 yang terselamat dan 18 disahkan maut dengan seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Feri yang membawa 12 kru, 53 penumpang dan 22 kenderaan itu berlepas dari Pelabuhan Ketapang ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali pada 2 Julai sebelum menghantar isyarat kecemasan pada 11.20 malam dan karam 15 minit kemudian.

Usaha mencari akan diteruskan oleh Basarnas dan pihak berkuasa wilayah bermula Selasa, memandangkan masih ada penumpang — termasuk yang tidak disenaraikan — dilaporkan masih hilang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan