DUNIA

ASEAN, RAKAN DIALOG TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP TINDAKAN IKLIM, DAYA TAHAN BENCANA

15/07/2025 09:47 AM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- ASEAN dan Rakan Dialognya mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam tindakan iklim, kelestarian alam sekitar dan daya tahan terhadap bencana, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".

Komitmen itu dinyatakan dalam Kenyataan Pengerusi ASEAN yang dikeluarkan susulan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar (PMC) 10+1 bersama Rakan Dialog yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Julai 2025.

ASEAN menyambut baik sokongan berterusan Rakan Dialog dalam memajukan usaha serantau berkaitan tindakan iklim dan kelestarian alam sekitar yang kekal sebagai antara isu paling mendesak di rantau ini.

Mesyuarat berkenaan turut menekankan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang utama seperti pertumbuhan hijau, pencemaran jerebu rentas sempadan, pencemaran marin, perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber air, pengurusan sisa, pendidikan alam sekitar, penggunaan dan pengeluaran lestari serta pembangunan bandar mampan.

ASEAN turut menggalakkan kerjasama melalui pusat-pusat kecemerlangannya, termasuk Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC), Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACCTHPC), Pusat ASEAN bagi Biodiversiti (ACB), Pusat Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan ASEAN (ACSDSD), serta Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), bagi menyokong kerjasama serantau dan mempromosikan pembangunan mampan.

Memandangkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan banjir, ASEAN turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama pengurusan bencana bersama Rakan Dialog.

ASEAN menghargai sokongan berterusan terhadap Pelan Kerja AADMER 2021–2025, khususnya dalam memperkukuh keupayaan Pusat Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre) dan mekanisme tindak balas kecemasan serantau.

Mesyuarat itu turut mengalu-alukan kerjasama yang sedang dijalankan dalam bidang seperti sistem amaran awal, pencegahan dan mitigasi, penilaian risiko dan pemantauan, tindak balas serta pemulihan.

ASEAN dan Rakan Dialognya juga menantikan kesinambungan kerjasama di bawah Pelan Kerja AADMER 2026–2030 yang akan datang serta rangka kerja berkaitan termasuk Deklarasi Pemimpin mengenai Daya Tahan Mampan.

Rakan Dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam mesyuarat itu, ASEAN dan Rakan Dialog menilai semula hubungan sepanjang tahun lalu dan menegaskan komitmen bersama untuk terus memperkukuh perkongsian dan kerjasama melalui pelaksanaan berkesan Pelan Tindakan masing-masing serta rangka kerja sedia ada.

Beberapa pencapaian penting turut diketengahkan, antaranya penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 bagi meraikan ulang tahun ke-35 hubungan dialog pada Oktober 2024, sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand tahun ini, serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada Mei 2025.

Kenyataan penuh bertarikh 11 Julai boleh diakses di [https://asean.org/chairmans-statement-of-the-asean-post-ministerial-conference-101-sessions-with-the-dialogue-partners-and-trilateral-meetings/](https://asean.org/chairmans-statement-of-the-asean-post-ministerial-conference-101-sessions-with-the-dialogue-partners-and-trilateral-meetings/).

Selain itu, beberapa Mesyuarat Trilateral turut diadakan antara Malaysia, Sekretariat ASEAN dan rakan dari Brazil, Norway, Switzerland serta Turkiye pada 8, 10 dan 11 Julai bagi membincangkan hala tuju masa depan dan meneroka kaedah mempererat kerjasama dengan hasil yang konkrit dan berimpak tinggi antara ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan