LAHAD DATU, 18 Julai (Bernama) -- Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan dalam keadaan berbalut kain di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata bayi itu ditemukan orang awam pada 3.06 pagi dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Keadaan bayi itu kini dilaporkan stabil, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, Dzulbaharin berkata pihaknya melakukan tangkapan ke atas seorang wanita berusia 21 tahun di sebuah hotel di sini kerana menawarkan khidmat seks melalui aplikasi Michat dengan bayaran RM250 hingga RM350, dalam Operasi Noda pada 10.30 malam tadi.
Selain itu, katanya seorang lelaki berusia 24 ditahan di Lorong Lahad Datu Square 1 pada 2.30 petang semalam kerana dipercayai terbabit aktiviti perjudian dalam talian.
Beliau berkata turut dirampas sebuah telefon pintar dengan perisian aplikasi judi.
-- BERNAMA