JITRA, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukan mudah untuk kerajaan menurunkan harga minyak RON95 walaupun hanya enam sen kerana perlu mengambil kira implikasi kewangan kepada negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata disebabkan itu beliau terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk mengumumkan perkara tersebut kerana ia perlu dinilai dan dilihat secara teliti sebelum dihebahkan kepada rakyat Rabu lepas.
"Kita turunkan harga minyak kepada RM1.99... ya memang negara seperti Thailand, Singapura sudah turun terlebih dahulu (berbuat demikian) tetapi kita lebih rendah dan ini adalah untuk rakyat Malaysia.
"Tak syukur, tak setuju tidak apa tetapi bukan mudah... sebab itu ambil masa kira berhari-hari, jadi jangan diremehkan benda ini... mereka kata beza enam sen tapi mereka tidak dengar penerangan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata ada juga pihak yang mempertikaikan kenapa kerajaan tidak memberi subsidi kepada warga asing namun beliau bertegas ia tidak perlu kerana mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan.
"Saya pelik bila ada pembangkang cakap kenapa bebankan warga asing, mereka pun bagi sumbangan kepada negara… saya tak faham di dunia mana orang asing itu diberi layanan sama dengan warganegara?" katanya.
Anwar juga berkata pemberian RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali beri kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas juga turut dipertikai oleh sesetengah pihak.
"Pemberian RM100 merupakan tambahan daripada peruntukan RM13 bilion kepada RM15 bilion... suami, isteri akan dapat seorang RM100, kalau ada anak umur 18 tahun dapat lagi," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol juga mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung implikasi kewangan sehingga RM500 juta.
"Kalau ikut perjanjian, tol mesti naik tahun ini... bukan saya buat perjanjian tu, (kerajaan) yang dulu yang buat perjanjian. Kalau kerajaan tak naik, kerajaan kena bayar tapi kerajaan tak naik sebab ia akan bebankan rakyat, jadi tidak mahu ucap terima kasih pun jangan la kutuk saya," katanya.
Lebih 6,000 orang hadir pada program yang bertujuan mengingatkan seluruh masyarakat serta mengukuhkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman dadah yang merupakan isu kesihatan dan keselamatan negara.
-- BERNAMA