EKONOMI

UNTUNG BERSIH IGB REIT LONJAK KEPADA RM92.51 JUTA BAGI SUKU KEDUA

29/07/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) meningkat kepada RM92.51 juta bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 daripada RM81.55 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan syarikat juga naik kepada RM160.09 juta daripada RM149.97 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan hasil sewaan pada suku kedua 2025.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata, walaupun unjuran runcit lebih perlahan dengan Retail Group Malaysia menyemak semula unjuran pertumbuhan jualan runcit bagi tahun penuh 2025 kepada 3.1 peratus daripada 4.3 peratus, pihaknya tetap yakin terhadap peluang jangka panjang melalui strategi pengembangannya seperti cadangan pengambilalihan The Mall, Mid Valley Southkey.

“Pasaran runcit Johor mendapat manfaat daripada inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Sistem Transit Pantas (RTS) dan perbelanjaan rentas sempadan yang kukuh.

"Tertakluk kepada penyiapan proses, pengambilalihan ini dijangka meningkatkan dan mempelbagaikan portfolio IGB REIT,” kata syarikat itu.

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih IGB REIT turut berkembang kepada RM199.08 juta daripada RM181.16 juta pada tahun lepas manakala perolehan menokok kepada RM331.53 juta daripada RM312.53 juta sebelumnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan