AM

KPKM, TM PERLUAS DIGITALISASI AGROMAKANAN

03/08/2025 06:02 PM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memeterai kerjasama strategik dengan TM Technology Services Sdn Bhd (TM) dalam usaha memperluas penggunaan teknologi digital dan pintar dalam sektor agromakanan negara.

Memorandum Kerjasama (MoC) antara kedua-dua pihak itu dimeterai oleh Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak dan Naib Presiden Perniagaan Kerajaan TM Mohamed Faisal Naina Mohamed, sambil disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini hari  ini, KPKM memaklumkan kerjasama itu adalah sebahagian daripada agenda transformasi sektor agromakanan negara ke arah yang lebih moden, digital dan mampan.

“Antara skop kerjasama ini termasuk penyediaan perkhidmatan rundingan, penyelidikan, peluang latihan berasaskan teknologi terkini, penganjuran pelbagai program, bengkel dan simposium, selain kerjasama dalam pembangunan perkhidmatan pintar berkaitan agromakanan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, KPKM turut melancarkan Silibus Pensijilan Kompetensi Khas bagi Operator Dron Pertanian Persendirian bagi memperkasa penggunaan teknologi dron dalam bidang pertanian.

KPKM menjelaskan silibus itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dikenali sebagai Remote Pilot Certificate of Competency - Agriculture Light (RCoC-AL), yang dikhususkan kepada pengendali dron pertanian persendirian.

Dalam pada itu, kementerian turut menyerahkan cek bernilai RM2.2 juta menerusi Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan (M&A) 2025 kepada jabatan serta agensi berkaitan di Sabah.

“Inisiatif ini bertujuan memperluas penggunaan jentera, mekanisasi dan automasi dalam sektor agromakanan untuk meningkatkan produktiviti serta keberkesanan operasi di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan transformasi digital sektor pertanian, KPKM turut bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui sistem Digital AgTech yang kini telah dipasang lebih 700 unit di seluruh negara.

Selain itu, kementerian juga memperkenalkan kemudahan pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, khusus bagi membantu usahawan tani Bumiputera.

Program ini menawarkan kadar pembiayaan tiga peratus sehingga RM1 juta bagi tempoh maksimum 10 tahun, bertujuan menggalakkan penggunaan agroteknologi seperti Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA),teknologi Revolusi Industri Keempat (4IR) seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), serta teknologi hijau dan bioteknologi,”  menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan