IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap di Kampung Jalong, Sungai Siput, semalam selepas dipercayai membaham ternakan penduduk sebagai sejak Februari lepas.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata mamalia itu dianggarkan berusia tujuh tahun dan seberat kira-kira 50 kilogram.
"Sejak Februari lepas penduduk telah membuat aduan mengenai kehilangan haiwan ternakan mereka, jadi sejak itu kita (Perhilitan) memasang perangkap dan harimau kumbang itu hanya berjaya ditangkap semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata harimau kumbang itu akan dibawa dan dilepaskan ke habitat asal yang sesuai.
Yusoff turut menasihati penduduk supaya segera melaporkan kepada Perhilitan jika terdapat jejak haiwan buas supaya tindakan segera boleh diambil.
Sebelum ini dilaporkan seekor harimau kumbang berjaya ditangkap di Ladang Jalong, Sungai Siput pada Julai tahun lepas.
-- BERNAMA