PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Ketua Hakim Negara yang baharu dilantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar untuk melindungi dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Menerusi ucapan pertama sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia ke-17, Wan Ahmad Farid turut menyentuh mengenai perjalanan kerjayanya yang panjang serta pelbagai dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak mungkin beliau lupakan.
"Saya pernah berkhidmat dalam ketiga-tiga cabang kerajaan. Saya tidak boleh memadam sejarah saya sama ada yang bersifat politik atau sebaliknya. Dan saya juga tidak berhasrat untuk berbuat demikian. Itulah diri saya.
"Namun, apabila saya memikul amanah yang berat ini, dan selagi saya menduduki kerusi ini, saya dengan ini memberikan ikrar tanpa syarat, atas nama Tuhan saya, Bismillahhirahmanirrahim, bahawa saya akan melindungi dan mempertahankan kebebasan cabang kerajaan ini dengan sepenuh jiwa dan raga saya," katanya semasa berucap pada majlis sempena Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman hari ini.
Wan Ahmad Farid juga meminta para hakim, pegawai badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak serta pihak berkepentingan lain untuk bekerjasama dengan beliau.
Wan Ahmad Farid, 62, yang mengambil alih jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara susulan persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2 Julai lepas, turut berikar untuk memberikan sepenuh komitmen ke arah penambahbaikan institusi itu serta mempertahankan kebebasannya.
"Biarlah mesej mengenai kebebasan badan kehakiman terus bergema dengan lantang dan jelas, bukan sekadar memenuhi ruang-ruang dalam Istana Kehakiman dan mahkamah-mahkamah lain tetapi turut menular ke segenap lapisan masyarakat dan setiap penjuru kuasa dalam negara kita," katanya.
Beliau turut mengulangi komitmennya untuk menjunjung tinggi kebebasan badan kehakiman dan membiarkan semua pihak mengetahui bahawa ia wajib dilindungi dengan apa jua cara sekalipun, kerana jika ia terhakis maka runtuhlah asas kepada sebuah masyarakat yang adil dan berperlembagaan.
Wan Ahmad Farid juga berkata apabila semua jalan penyelesaian tertutup, rakyat bahkan kerajaan sendiri akan berpaling kepada mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian yang adil serta tidak berpihak.
“Saya menduduki kerusi ini bukan kerana saya adalah yang terbaik. Jauh sekali. Saya tidak dilahirkan sebagai insan yang hebat dan saya juga belum menjadi seorang yang hebat. Sebaliknya, apa yang saya miliki hanyalah tanggungjawab kepimpinan yang telah diamanahkan kepada saya,” katanya sambil menambah bahawa sebagai hakim, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.
Beliau berkata dalam setiap keputusan, sekurang-kurang satu pihak (dan adakalanya kedua-dua pihak) tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, bagaimanapun, beliau berkata sistem perundangan negara menyediakan saluran untuk mana-mana pihak yang terkilan mengambil tindakan susulan.
“Apa jua keputusan kita, jangan sesekali kita lupa, kita perlu memastikan bahawa pihak yang kalah melangkah keluar dari mahkamah dengan rasa puas hati kerana mereka telah diberikan ruang untuk didengar, dibenar mengemukakan bukti dan diberi peluang membela diri. Jangan pinggirkan mereka,” katanya.
Wan Ahmad Farid, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hons) dari Universiti West London pada 1985 dan memperoleh Sijil Amalan Guaman dari Universiti Malaya pada 1986, turut menzahirkan hasrat untuk melihat badan kehakiman terus memperkasa sistem penyampaian perkhidmatannya.
Beliau berkata pada 2011, Bank Dunia telah mengesyorkan agar negara-negara yang berdepan kes tertunggak meneliti serta mengkaji pembaharuan yang dilakukan oleh Malaysia.
"Ringkasnya, kita pernah menjadi pencetus perubahan dan contoh kepada dunia. Seperti yang sering diungkapkan, keadilan yang lewat adalah keadikan yang dinafikan...
Bagi mengurangkan kes tertunggak secara drastik, Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman akan menugaskan hakim sirkuit dan Pesuruhjaya Kehakiman di pelbagai lokasi untuk mendengar kes-kes lama serta melupuskannya dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi memperluas akses rakyat kepada keadilan, beliau berkata badan kehakiman telah memperkenal mahkamah bergerak serta membawa perkhidmatan perundangan terus ke komuniti di kawasan pedalaman terutaman di Sabah dan Sarawak.
"Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa kita merancang untuk melaksanakan perkhidmatan serupa di Semenanjung Malaysia.
"Selain itu, terdapat keperluan untuk menubuhkan lebih banyak bahagian dan subbahagian khas di Mahkamah Tinggi terutama di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur. Kami akan meneroka perkara ini dengan lebih lanjut dalam usaha mendedahkan para hakim kepada bidang undang-undang yang lebih rumit sekali gus meningkatkan kepakaran mereka,” katanya.
Selain itu, Wan Ahmad Farid berkata penggunaan teknologi di mahkamah akan terus meningkatkan kecekapan, memudahkan akses kepada keadilan serta memperkukuh kemampuan hakim untuk mengurus isu-isu berkaitan teknologi dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA