JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Bernama) - Kerajaan Johor menyambut baik cadangan kerjasama strategik dengan Indonesia bagi menangani isu kekurangan jururawat yang dihadapi sektor perubatan di Malaysia khususnya di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata langkah itu bukan sahaja dapat membantu mengatasi kekurangan jururawat di hospital awam, malah turut memberi manfaat kepada sektor swasta.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa agensi dan kementerian terlibat perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung pengambilan tenaga kerja dari negara itu dalam sektor berkenaan.
Ini kerana, katanya, jururawat dari luar negara yang ingin berkhidmat di Malaysia perlu melalui beberapa proses termasuk mendapatkan kelulusan kepakaran daripada Lembaga Jururawat Malaysia.
“Selain itu, mereka juga mungkin perlu mendapatkan permit pekerjaan daripada Kementerian Sumber Manusia. Ini semua adalah perkara teknikal yang perlu diperjelaskan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas cadangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru baru-baru ini untuk membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto, dipetik sebagai berkata, langkah tersebut merupakan situasi menang-menang memandangkan kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari Indonesia.
Sigit berkata, ia sekali gus akan memberikan manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat, sementara Indonesia pula mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan hospital utama di Johor Bahru berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal, menyaksikan seorang jururawat terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.
-- BERNAMA