KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhasrat mengembangkan kehadirannya di Kanada memandangkan negara itu kini merupakan antara ppembekal utama gas asli cecair (LNG), kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab.
Beliau berkata Petronas mempunyai kira-kira 50 trilion kaki padu (TCF) gas di Kanada dan projek LNG Canada kini hanya berada di fasa satu, justeru Petronas telah memulakan beberapa projek LNG yang disokong oleh portfolio sumbe itu.
"Berasaskan 50 TCF, kami boleh menyokong beberapa lagi projek LNG kerana saiz sumber bukanlah masalah," katanya semasa Taklimat Pengarang di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan harapan supaya kerajaan Kanada dapat memberikan sokongan kepada projek LNG tambahan.
"Kami berhasrat mengembangkan kehadiran di sana dan menyaksikan Kanada sebagai satu daripada pangkalan bekalan LNG utama kami pada masa hadapan," katanya.
Petronas telah berjaya menghantar kargo LNG pertama dari kemudahan LNG Canada di Kitimat, British Columbia, pada 8 Julai.
Petronas mengendalikan projek gas huluan North Montney Joint Venture dan merupakan rakan pemegang ekuiti utama dalam LNG Canada, sebuah kemudahan LNG bernilai US$40 bilion (US$1=RM4.24).
Mengulas mengenai kehadiran di peringkat antarabangsa, Mohd Jukris berkata Petronas mengukuhkan kedudukannya di beberapa negara, dengan kehadiran di Brunei, Vietnam, Turkmenistan, Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu), Kanada dan Suriname.
"Kami sedang berkembang di beberapa negara ini, dan beberapa daripadanya telah dikenal pasti sebagai kawasan utama kami. Contohnya di Suriname, kami sedang bersiap sedia untuk membangunkan penemuan gas optikal pertama kami di sana, di samping masih membangunkan telaga cari gali di negara itu," katanya.
Beliau berkata aspirasi Petronas adalah untuk memperluas perniagaan antarabangsa, dengan sasaran sumbangan perolehan melebihi 60 peratus daripada aset antarabangsa, berbanding 40 peratus pada ketika ini.
"Bagaimanapun, dengan berbuat sedemikian, ini tidak bermaksud pelaburan di Malaysia akan berkurangan. Saya percaya pelaburan kami di Malaysia akan terus menjadi portfolio utama pelaburan kami," katanya.
-- BERNAMA