AM

SIASATAN MENYELURUH INSIDEN BONGKAH BATU JATUH DI JALAN TUN SARDON - EXCO

11/08/2025 08:22 PM

BALIK PULAU, 11 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian bongkah batu jatuh dari lereng bukit ke atas jalan raya di Kilometer 1, Jalan Tun Sardon di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kejadian itu dimaklumkan orang awam kepada JKR Daerah Barat Daya pada 11.20 pagi sebelum kontraktor bertindak mengalihkan batu berukuran kira-kira 1.22 meter x 0.91 meter itu.

Beliau berkata laluan berkenaan, iaitu dari arah Balik Pulau menuju ke Paya Terubong juga telah dibuka kepada semua kenderaan setelah kerja-kerja mitigasi awal dijalankan.

"Pada masa yang sama, kontraktor JKR iaitu Pintas Utama Sdn Bhd bersama MBPP Geotech telah berada di tapak untuk menjalankan siasatan secara penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua pengguna jalan raya di kawasan itu juga diminta supaya berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.

Terdahulu tular beberapa gambar memaparkan bongkah batu di jalan raya berkenaan dipercayai terjatuh dari lereng bukit berhampiran, namun difahamkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan