AM

161 AHLI PARLIMEN SELESAI BAHAS RMK13 PADA MINGGU KEEMPAT SIDANG DEWAN RAKYAT

15/08/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 161 Ahli Parlimen selesai menyertai sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang berakhir pada minggu keempat sidang Dewan Rakyat, semalam.

Sesi perbahasan itu berlangsung selama lapan hari bermula dari 4 Ogos, selepas pelan mengenai hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 berkenaan yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas.

Antara isu utama dibangkitkan sepanjang sesi perbahasan minggu ini ialah aspek memperkasakan kemudahan pengangkutan awam, menambah baik sektor pendidikan dan penumpuan kepada kebajikan petugas kesihatan.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) mencadangkan kerajaan memberikan insentif pelepasan cukai kepada pengguna pengangkutan awam, manakala Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengusulkan kemudahan prasekolah kerajaan, yang kini disediakan tiga kementerian berbeza, digabungkan di bawah Kementerian Pendidikan.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pula masing-masing mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan sistem kontrak dalam kalangan doktor bagi menangani isu kekurangan petugas dan menekankan keperluan perubahan sistemik dalam proses perpindahan, waktu kerja dan imbuhan.

Selain itu, Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak antaranya Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan (GRS-Keningau), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) tidak ketinggalan menyertai sesi perbahasan dengan menyentuh isu pembangunan di negeri masing-masing.

Menurut Takwim Dewan Rakyat, sesi jawapan menteri bagi RMK13 akan bermula pada Isnin depan, dan berlangsung selama empat hari.

Dalam pada itu, antara yang paling mencuri tumpuan pada sesi perbahasan minggu ini, semestinya perang mulut melibatkan beberapa wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang sehingga mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, dengan menyifatkan situasi berkenaan sebagai sangat memalukan.

“Anda semua sangat memalukan, dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh,” katanya susulan pertelingkahan antara Ahli Parlimen kerajaan dengan pembangkang, usai perbahasan RMK13 oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Kekecohan yang berlarutan hingga kira-kira tujuh minit itu melibatkan antaranya Ahli Parlimen pembangkang Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) serta Ahli Parlimen kerajaan RSN Rayer (Jelutong).

Persidangan minggu ini juga digemparkan dengan laporan insiden serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Rabu.

Menyifatkan serangan itu sebagai satu bentuk keganasan yang melampaui batas kemanusiaan, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tampil bersolidariti di Dewan Rakyat bagi menzahirkan sokongan moral kepada bekas Menteri Ekonomi itu.

Perkara berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memulakan ucapannya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri semalam dengan menzahirkan rasa dukacita akan kewujudan budaya melampau di negara ini susulan kes serangan itu, serta kes buli sehingga menyebabkan kematian.

“Budaya ini sangat membimbangkan, saya beri jaminan seperti apa yang disebutkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan telus untuk mengambil tindakan, seterusnya menghentikan budaya jahat ini,” kata Anwar.

Tidak ketinggalan menjadi tumpuan minggu ini ialah sesi Penerangan Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pembaharuan undang-undang jenayah.

Azalina pada sesi di Kamar Khas itu menekankan bahawa pembaharuan yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek untuk manfaat masyarakat antaranya termasuklah pemansuhan hukuman sebatan, memberikan budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman serta menambah baik proses tahanan reman.

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan