KOTA BHARU, 24 Feb (Bernama) -- Nasi lemak, kek dan puding berasaskan bahan premium lazimnya dijual pada harga lebih mahal, namun di Bazar Ramadan Peringat di sini, makanan itu ditawarkan serendah RM1 hingga RM1.50, sekali gus menarik perhatian pengunjung yang hadir setiap petang.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Nazrulaman Mohamed, 46, yang menetapkan harga RM1 untuk nasi lemak serta RM1.50 bagi kek dan puding sepanjang Ramadan ini bagi membolehkan penduduk kampung dan golongan kurang berkemampuan dapat menikmati hidangan berkualiti pada kadar mampu milik.
Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Nazrulaman berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada niat bersedekah dan mencari keberkatan pada bulan Ramadan.
"Sebelum ini, kek dan puding yang dihasilkan dijual pada harga bermula RM5 ke atas," katanya dan menambah selain puding tutti fruity yang paling laris dijual, dia turut menawarkan pelbagai jenis kek keju antaranya kek keju red velvet, beri biru vanila dan oreo.
Anak kelahiran Kampung Pak Badol, Melor itu berkata idea berkenaan tercetus hasil perbincangan bersama-sama isterinya yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan kek dan pastri.
Nazrulaman berkata dia mula berniaga di bazar Ramadan sebelum pandemik COVID-19, namun berhenti ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan kembali berniaga beberapa tahun lepas.
"Tahun ini kali pertama saya menjual nasi lemak di bazar berkenaan, sebelum ini lebih tertumpu kepada kek, kuih dan puding," katanya.
Dia menyediakan kira-kira 70 hingga 100 bungkus nasi lemak serta antara 200 hingga 300 bekas kek dan puding pelbagai perisa setiap hari, serta sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan jualan habis kira-kira pukul 7 malam setiap hari.
"Saiz makanan ini djual lebih kecil supaya lebih ramai dapat membelinya. Biar sedikit, asalkan semua dapat rasa. Walaupun untung tidak besar, kita dapat pahala sedekah. Yang penting orang kampung boleh merasai makanan yang menggunakan bahan premium tanpa perlu memikirkan harganya," katanya.
Selain jualan harian di bazar Ramadan, dia turut menerima tempahan juadah untuk berbuka puasa daripada pusat tahfiz di Kampung Tegayong, Melor.
-- BERNAMA
