JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA TERMASUK BAYI TUJUH BULAN MAUT KEMALANGAN

12/03/2026 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Tiga individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata jurujual lelaki berusia 25 tahun yang menunggang motosikal dan penumpang kereta, iaitu wanita 88 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

“Bayi yang dipangku penumpang belakang kereta mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada kira-kira 9 pagi berlaku apabila kereta membelok ke kanan di simpang menyebabkan motosikal dari arah Taman Widuri ke Sungai Choh tidak sempat mengelak dan melanggar sisi kiri kereta.

Kemalangan menyebabkan lelaki yang memandu kereta dan wanita penumpang hadapan kereta masing-masing berusia 60 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital sama.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohammadi Mt Abu @ Ramli menerusi talian 03-6064 1222 atau hadir ke balai polis berhampiran. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan