AM

JURUGAMBAR BERNAMA MUHAMAD RAZALI DIKENANG, KOMITED DAN BERDEDIKASI DALAM TUGAS

26/04/2026 02:57 PM

KUCHING, 26 April (Bernama) -- Pemergian jurugambar Biro Sarawak Muhamad Razali Nordin, 54, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kerana beliau merupakan seorang yang sangat berdedikasi serta amat disenangi dalam kalangan warga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata perkara itu jelas terserlah melalui keperibadian Allahyarham dalam setiap tugasan yang dilaksanakan, apabila beliau sentiasa membawa suasana positif serta menceriakan persekitaran kerja.

“Sepanjang berkhidmat bersama Bernama, beliau dikenali sebagai seorang yang komited, rajin serta sentiasa menunjukkan sikap profesional dan positif dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Dalam apa jua situasi, sama ada tugasan di lapangan mahupun di pejabat, beliau sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan mempamerkan tahap dedikasi yang tinggi. Sumbangan dan kesungguhan beliau amat kami hargai dan akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga Bernama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Muhamad Razali, 54, yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 1.44 pagi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, 11.35 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj menyifatkan Muhamad Razali sebagai seorang yang sangat kreatif serta sentiasa komited terhadap tugas walaupun berdepan cabaran kesihatan, khususnya dalam dunia kewartawanan visual.

“Beliau seorang yang sangat passionate dalam bidang fotografi dan sentiasa memberikan idea-idea segar, khususnya ketika kami mula menghasilkan kandungan video untuk media sosial dan Bernama TV.

“Razali bukan sahaja cemerlang dalam fotografi, malah antara penyumbang utama idea untuk liputan video dan perkhidmatan berita visual,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham banyak terlibat dalam liputan acara besar di dalam dan luar negara, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme serta dedikasi tinggi yang dimilikinya.

“Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini beliau sering berulang-alik ke hospital akibat masalah kesihatan, Allahyarham tetap berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin. Itu menunjukkan komitmen beliau yang luar biasa terhadap kerjaya,” katanya.

Muhamad Razali yang berasal dari Batu Gajah, Perak telah memulakan kerjaya di ibu pejabat Bernama pada 1996 sebelum bertugas di Biro Sarawak pada 2002, Biro Selangor pada 2004 dan kembali ke ibu pejabat pada 2009 sebelum ditempatkan semula di Biro Sarawak pada 2011 sehingga kini.

Beliau menghidap beberapa penyakit kronik termasuk masalah jantung, hati serta buah pinggang dan kesihatannya mula merosot sejak Ramadan lepas sehingga beliau terlantar di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya sebelum dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan