AM

ESP DI IJN: PENGAMAL MEDIA BERNAMA TUNJUK KESEDARAN TINGGI SERTAI SARINGAN KESIHATAN

27/04/2026 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Penyertaan 80 peratus petugas Jabatan Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) daripada keseluruhan peserta Program Pemeriksaan Kesihatan atau Executive Screening Programme (ESP) di Institut Jantung Negara (IJN) daripada agensi berita itu tahun ini, mencerminkan kesedaran tinggi pengamal media terhadap penjagaan kesihatan.       

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sebelum ini mungkin ada dalam kalangan petugas daripada jabatan itu agak ragu-ragu menyertai ESP kerana bimbang dengan keputusan yang diperoleh selepas mengikuti program itu.

“Setiap tahun kita memberi peluang kepada 60 petugas untuk menjalani saringan dan sambutan semakin menggalakkan, mencerminkan tahap kesedaran yang kian meningkat walaupun pada awalnya ada yang ragu-ragu untuk mengetahui keputusan kesihatan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ESP di IJN, di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Khidmat Pengurusan & Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif.

Nur-ul Afida berkata tawaran untuk mengikuti program berkenaan tidak tertumpu kepada faktor umur semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada gred perkhidmatan serta kesediaan individu sendiri untuk tampil menjalani pemeriksaan.

Mengenai kesinambungan program itu, beliau berkata Bernama bercadang meneruskan kerjasama dengan IJN sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan, memandangkan kaedah berkenaan memberikan keputusan pantas serta memudahkan tindakan susulan termasuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib memuji langkah proaktif Bernama menerusi inisiatif itu memandangkan profesion kewartawanan berdepan tekanan kerja tinggi yang boleh meningkatkan risiko penyakit kronik.

Beliau berkata faktor seperti jadual kerja tidak menentu, tekanan, pemakanan tidak seimbang serta kurang aktiviti fizikal menjadikan petugas media terdedah kepada penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit kardiovaskular.

“Pendekatan saringan awal penting bagi mengesan risiko sebelum penyakit menjadi serius, sekali gus membolehkan langkah pencegahan diambil termasuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan faktor risiko seperti merokok dan tekanan,” katanya.

Beliau berkata tahap kesedaran dalam kalangan petugas media masih perlu dipertingkatkan, justeru usaha berterusan oleh organisasi dan majikan amat penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara.

Program ESP yang dipanjangkan kepada petugas Bernama bagi Gred 44 dan ke bawah, berumur 40 tahun ke atas dilaksanakan buat pertama kali pada September 2024 dan memasuki tahun ketiga penganjurannya pada tahun ini.

Inisiatif Bernama menyediakan saringan kesihatan kepada petugasnya dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal penyakit.

Ketua Jurukamera Bernama TV Ahmad Azmai Awang, 57, menyifatkan peluang menjalani saringan buat kali pertama sebagai amat bermakna.

“Ini saringan pertama seumur hidup saya dan saya rasa bertuah dipilih. Melalui saringan ini, kita dapat kesan penyakit lebih awal dan ambil tindakan segera,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada Bernama atas peluang menjalani pemeriksaan di IJN.

Sementara itu, Penolong Editor Tugasan Bernama TV J.Kavirajan, 43, yang telah berkhidmat selama 17 tahun berkata program itu dapat membantu petugas mengetahui status kesihatan meskipun sibuk dengan tugas harian.

“Ini kali pertama saya jalani saringan di IJN. Kita memang jarang buat pemeriksaan kerana sibuk bekerja, jadi peluang ini sangat bermanfaat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan