KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang ramai, khususnya golongan belia untuk hadir memeriahkan Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 5 hingga 7 Jun ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sambutan itu bakal menghimpunkan pelbagai bakat kemahiran serta membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali masa depan industri dan kerjaya berasaskan TVET.
Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang tiga hari program bermula dari 9 pagi hingga 10 malam seperti pameran teknologi, pertandingan kemahiran, pameran industri dan peluang kerjaya daripada pelbagai sektor.
“Simpan tarikh ini dan ajak keluarga serta rakan-rakan untuk bersama memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2026,” katanya.
-- BERNAMA
