Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 23 Mei (Bernama) -- Selepas puluhan tahun mendahulukan keperluan lima anak lelakinya, Moraton Hassan akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji pada usia 88 tahun.
Warga emas dari Bukit Naning, Johor itu berkata impiannya untuk menjadi tetamu Allah terpaksa ditangguhkan selepas kematian suami kira-kira 25 tahun lepas demi membesarkan cahaya mata yang masih bersekolah.
“Orang kata saya tidak layak pergi haji sebab dah tua... tapi Tuhan yang menentukan,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Moraton yang juga antara jemaah tertua Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M berkata beliau sebenarnya telah lama menyimpan wang di Lembaga Tabung Haji (TH) hasil kerja menoreh getah, namun keutamaan ketika itu adalah memastikan anak-anaknya dapat membesar dan meneruskan persekolahan dengan sempurna.
“Saya fikir anak-anak dulu. Mereka masih sekolah dan ada tanggungan,” katanya.
Beliau berkata selepas pemergian suami, segala urusan keluarga dipikul sendirian dan impian menunaikan haji terpaksa ditangguhkan walaupun simpanan untuk ke Tanah Suci telah mula dikumpulkan sejak sekian lama.
Dalam tempoh menanti panggilan itu, Moraton berkata beliau turut berdepan pelbagai tanggapan sinis daripada orang sekeliling yang meragui kemampuannya untuk mengerjakan haji pada usia lanjut.
“Ada yang kata saya dah tua, takut kena rempuh, tak larat dan tak boleh pergi dah tapi saya percaya kalau Allah jemput, kita akan sampai juga,” katanya.
Beliau menyifatkan peluang menunaikan haji pada musim ini sebagai rezeki dan jemputan Allah yang amat bermakna selepas penantian yang begitu panjang.
“Bila dapat surat panggilan itu, saya sangat bersyukur. Saya rasa sedih juga bila teringat apa yang orang pernah cakap,” katanya.
Moraton kini berada di Makkah bersama menantunya Azizah Wahab, 50, yang menjadi pengiring sepanjang berada di Tanah Suci.
Walaupun tidak lagi segagah dahulu, beliau tetap bersemangat untuk menyempurnakan ibadah haji dan berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan.
“Nanti di Arafah saya nak doa untuk anak-anak, cucu-cucu dan semua saudara,” katanya.
Sementara itu, Azizah berkata keluarganya berasa terharu apabila Moraton akhirnya berpeluang menunaikan haji selepas sekian lama mengutamakan keperluan keluarga berbanding dirinya sendiri.
“Saya anggap ini amanah. Saya sendiri rasa terharu tengok mak akhirnya sampai ke Makkah walaupun ramai kata dia tak mampu pergi,” katanya.
Menurut Azizah, ahli keluarga turut terkejut apabila mendapati simpanan TH Moraton sebenarnya telah lama mencukupi untuk melayakkannya menunaikan haji.
Bagi keluarganya, perjalanan Moraton ke Tanah Suci pada usia senja bukanlah sekadar memenuhi impian yang tertangguh tetapi simbol pengorbanan seorang ibu kepada anak-anaknya.
-- BERNAMA
