BANDAR PERMAISURI, 23 Mei (Bernama) -- Seorang pemandu lori warga tempatan ditahan bersama dua tong dram berisi 500 liter minyak petrol bersubsidi dianggarkan bernilai RM1,600 dalam satu serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di Merang, dekat sini pagi tadi.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata serbuan secara bersepadu itu melibatkan lima pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta lapan anggota KPDN kira-kira 7.30 pagi.
Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan kerana disyaki menggunakan lapan permit palsu untuk tujuan pembelian petrol di stesen minyak berkenaan, seterusnya dijual kepada pihak industri.
"Risikan telah dijalankan selama dua minggu berikutan berlaku aktiviti mencurigakan melibatkan ketirisan barang kawalan bersubsidi di stesen minyak itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori yang juga pekerja syarikat mempunyai 10 keping permit, tetapi lapan daripadanya didapati tidak sah atau palsu. Hasil rampasan termasuk lori dan peralatan bernilai RM46,800," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mohd Mufsi berkata modus operandi suspek ialah membuat pembelian hingga empat kali sehari dengan menggunakan permit yang ditinggalkan di stesen minyak bagi memudahkan urusan pengisian bahan api ke dalam tong dram.
Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat dan stesen minyak pula siasatan dijalankan di bawah akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000," katanya.
Sementara itu, Mohd Mufsi berkata pihaknya merekodkan 10 tindakan kes melibatkan rampasan keseluruhan berjumlah RM220,409.70 sepanjang Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan bermula 16 Mac hingga semalam.
"KPDN Terengganu melaksanakan 1,614 siri pemeriksaan di pelbagai premis dan stesen minyak seluruh negeri sejak 16 Mac. Daripada 10 kes, empat kes melibatkan komoditi diesel, gas petroleum cecair (tiga kes), minyak masak (dua kes) dan gula (satu kes)," katanya.
-- BERNAMA
