POLITIK

KELUAR PARTI TIDAK JEJAS FOKUS PKR PERKUKUH AKAR UMBI - MOHAMMED TAUFIQ

23/05/2026 03:53 PM

ALOR SETAR, 23 Mei (Bernama) -- Tindakan segelintir bekas pemimpin dan ahli PKR termasuk di peringkat sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengumumkan keluar parti tidak akan menjejaskan fokus parti itu, kata Naib Ketua AMK Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata PKR perlu kekal melihat ke hadapan dan memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan parti demi kepentingan rakyat dan negara.

“Parti PKR sentiasa melihat ke hadapan. Setiap individu mempunyai hak masing-masing tetapi apa yang penting itu tidak memberikan kesan yang besar kepada parti.

“Parti kita adalah parti masa depan. Kita mahu terus maju dan mara, kita terus memperkuatkan parti di peringkat akar umbi, termasuk ranting dan aktivis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata parti itu tidak boleh terlalu melayan tindakan mereka yang keluar parti kerana keutamaan kini adalah membantu kerajaan dan negara mendepani pelbagai cabaran semasa khususnya krisis bekalan global.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam persatuan atau pertubuhan belia bagi membentuk sahsiah dan kepimpinan sejak peringkat awal.

“Kita perlu memperkasakan anak muda belia kita dengan ilmu, sahsiah dan semangat yang tinggi untuk membangunkan negara secara bersama,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan