AM

SEJATI MADANI: KOMUNITI MADANI KULAI WUJUDKAN DOBI KASIH RAHMAH

30/05/2026 11:44 AM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

KULAI, 30 Mei (Bernama) -- Inisiatif Dobi Kasih Rahmah yang diwujudkan oleh Komuniti MADANI Kulai di Jalan Manggis, Kampung Pertanian di sini nyata memberi manfaat besar kepada penduduk setempat yang menantikan perkhidmatan dobi layan diri 24 jam.

Setiausaha Komuniti MADANI Kulai, Mohamad Shafwan Ani berkata meskipun baru beroperasi pada 11 Mei lepas, maklum balas penduduk kampung amat positif terutama ketika cuaca hujan.

Katanya idea penubuhan dobi tersebut tercetus sejak Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) diperkenalkan pada 2024, memandangkan sebelum ini penduduk terpaksa pergi jauh ke Bandar Putra atau ke bandar Kulai untuk menggunakan perkhidmatan dobi.

“Saya bersama Pengerusi Komuniti MADANI Kulai, Mohd Syafiq M. Hatta telah menghantar permohonan pada 2024. Permohonan diluluskan pada tahun sama, manakala dana diterima pada penghujung 2025,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata kerja-kerja pengubahsuaian premis termasuk pemasangan elektrik dan kamera litar tertutup (CCTV) dilaksanakan sepenuhnya dari Januari hingga Mac lepas.

Meskipun terdapat pandangan bahawa peruntukan RM100,000 tidak mencukupi, beliau berkata perancangan rapi membolehkan Dobi Kasih Rahmah direalisasikan demi kemudahan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, dengan peruntukan RM100,000 kami menyediakan dua mesin basuh dan dua mesin pengering baharu berasaskan sistem elektrik, berbeza dengan sesetengah dobi lain yang menggunakan gas,” katanya.

Mohamad Shafwan berkata pihaknya turut telah membayar sewa premis sehingga hujung tahun ini dan masih mempunyai baki sekitar RM20,000 untuk modal pusingan, utiliti serta perancangan masa depan.

Dobi Kasih Rahmah menawarkan caj RM5 bagi penggunaan mesin basuh selama 36 minit dan RM6 untuk mesin pengering selama 50 minit, selain menyediakan program infak barangan keperluan dobi.

Bagi perancangan jangka panjang, beliau berkata pihaknya berhasrat menambah mesin bersaiz 20 kilogram berbanding saiz 13 kilogram sedia ada serta memperkenalkan sistem pembayaran menggunakan kod respons pantas (QR).

Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kulai, Mohd Syafiq berkata program SejaTi MADANI membantu meningkatkan ekonomi setempat dan berharap inisiatif seumpama itu diteruskan serta ditambah baik pada masa akan datang.

Bagi peniaga sarapan pagi, Siti Normawati Ahmad, 53, kewujudan dobi layan diri itu memudahkan urusan harian sebagai peniaga di deretan kedai berhampiran.

“Sebahagian besar penduduk sebelum ini tidak mempunyai dobi layan diri di kawasan ini. Apabila sudah ada, ia amat memudahkan kerana kami tidak perlu lagi ke bandar Kulai,” katanya yang menetap di kawasan itu selama 35 tahun.

Sementara itu, suri rumah, Amnah Jaafar, 63, turut bersyukur dengan kemudahan tersebut kerana lokasinya yang strategik di laluan harian penduduk memudahkan urusan mencuci dan mengeringkan pakaian terutama pada musim hujan.

Program SejaTi MADANI diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui penyediaan dana komuniti antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi memperkasa sosioekonomi penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan