EKONOMI

Airasia Tawar Rangkaian Penerbangan Lebih Meluas Dari Singapura Ke India

19/02/2024 03:22 PM

SINGAPURA, 19 Feb (Bernama) -- AirAsia yang baru sahaja meraikan usia dua dekad operasinya di Singapura sedang berusaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggannya menerusi pengembangan rangkaian yang meluas ke 12 bandar dinamik di India menggunakan perkhidmatan penghubung penerbangan Fly-Thru.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura Logan Velaitham berkata pengembangan pasaran di India merupakan satu daripada fokus utama syarikat penerbangan tambang rendah itu pada tahun ini berikutan permintaan yang tinggi.

“Menerusi perkhidmatan Fly-Thru kami, kami dapat menghubungkan pengembara dari Singapura ke India dan begitu juga sebaliknya, yang seterusnya meningkatkan ketibaan pengembara ke Lapangan Terbang Changi,” katanya semasa melancarkan fokus strategik AirAsia untuk perkukuh rangkaian penerbangan dari Singapura ke India, hari ini. 

“Ini menyediakan akses kepada rangkaian meluas AirAsia yang merangkumi lebih 130 destinasi dengan hentian singkat yang mudah di Kuala Lumpur atau Bangkok (Don Mueang), tanpa perlu mengambil atau mendaftar masuk semula bagasi semasa transit,” katanya.

Logan berkata Singapura dan India menjalin hubungan erat merentasi dimensi pelancongan, ekonomi, politik dan budaya. 

“Selain itu, perjalanan liburan antara kedua-dua destinasi mendapat sambutan yang amat baik. Kami mahu menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pelanggan kami, memudahkan sambungan penerbangan menerusi perkhidmatan Fly-Thru kami yang diperluaskan dan pengembangan rangkaian pada masa depan,” katanya.

Bagi meningkatkan tawaran perjalanan antara Singapura dan India, AirAsia memperkenalkan promosi Tempat Duduk Percuma yang menumpukan kepada empat bandar di India iaitu Visakhapatnam, Jaipur, Trivandrum dan Ahmedabad.

Kempen Tempat Duduk Percuma itu adalah tambang asas sifar tidak termasuk cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan fi lain.

Penumpang kini boleh menikmati penerbangan dari Singapura ke Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, New Delhi, Amritsar, Trivandrum (bermula 21 Feb, 2024), Jaipur (21 April, 2024), Visakhapatnam (26 April, 2024) dan Ahmedabad (1 Mei, 2024) menerusi perkhidmatan Fly-Thru AirAsia di Kuala Lumpur.

Selain itu, menerusi hab syarikat penerbangan itu di Bangkok (Don Mueang) penumpang boleh mendapatkan penerbangan ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Jaipur, Chennai, Lucknow, Ahmedabad, Gaya, Guwahati dan Visakhapatnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan