AM

TIADA SEBARANG KESAN MENDAPAN TANAH AKIBAT PEMBINAAN TELAGA TIUB DI KELANTAN - EXCO

17/04/2024 07:29 PM

KOTA BHARU, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan tidak mengesan sebarang impak negatif termasuk kejadian mendapan tanah kesan daripada pembinaan telaga tiub di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata penemuan itu berdasarkan beberapa kajian berkaitan kuantiti air yang dilakukan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebelum ini.

"Daripada segi teorinya, ia boleh berlaku tetapi setakat ini tiada impak negatif dikesan dan kita sedang dalam kajian menentukan sumber air mana yang lebih efektif untuk digunakan termasuk memanfaatkan air di permukaan seperti sungai.

"Ini kerana sumber air bawah tanah yang terdapat di Kelantan mengandungi pelbagai bahan termasuk magnesium yang memerlukan kos rawatan air yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau berkata dakwaan bahawa mendapan tanah akan berlaku di Kelantan akibat pembinaan telaga tiub adalah palsu dan tidak benar.

Berikutan itu, Izani memaklumkan pihaknya tidak mempunyai rekod jumlah keseluruhan telaga tiub yang sudah dibina di negeri berkenaan.

"Buat masa ini, kita mempunyai 42 telaga tiub di seluruh Kelantan. Kemungkinan keperluan pembinaan telaga tiub membabitkan kawasan sempadan apabila bekalan air AKSB tidak sampai disebabkan beberapa masalah termasuk paip lama bocor.

"Kita telah membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi membantu kerajaan negeri menukar paip lama sepanjang kira-kira 1,000 kilometer (km) daripada keseluruhan 5,000 km paip yang memerlukan kos tinggi," katanya

Semalam, Angkatan Belia Islam Malaysia Kelantan melahirkan rasa bimbang terhadap fenomena penggalian telaga tiub di negeri ini yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan