SUKAN > BERITA

Ketiadaan tiga tonggak utama punca TFC kalah - Steinbruckner

27/07/2024 10:49 AM

ISKANDAR PUTERI, 27 Julai (Bernama) -- Ketiadaan tiga tonggak utama Terengganu FC (TFC) menjadi punca kekalahan besar pasukan itu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner berkata ketiadaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid di bahagian serangan serta pemain pertahanan Safwan Mazlan akibat kecederaan merencatkan perancangan skuad penyu.

Beliau berkata keputusan pengadil perlawanan Fitri Maskon yang melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Ubaidullah Shamsul menjadikan perancangan dan taktikal TFC semakin terjejas.

"Selepas gol awal Heberty Fernandes, JDT mengasak dan bermain dengan agresif, mereka bermain dengan baik. Kami melakukan kesilapan individu dan kadangkala kesilapan kecil.

"Kita juga melakukan kesilapan di barisan pertahanan...selepas 2-0, kita cuba bangkit tetapi berdepan bahaya kerana kekurangan seorang pemain," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Jaringan Fernandes dan hatrik penyerang berbisa Bergson da Silva membenam Terengganu FC 4-0, sekali gus kemenangan keenam berturut-turut skuad Harimau Selatan.

Tiga mata dikutip JDT membolehkan mereka terus menerajui saingan dengan 18 mata, dibezakan lapan mata dengan Sabah di tempat kedua.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berpuas hati dengan rentak permainan pasukannya yang menekan kuat pasukan lawan.

Beliau berkata layangan kad merah terhadap pemain TFC bukan faktor utama kemenangan JDT kerana anak buahnya telah mendominasi perlawanan sebaik wisel permulaan.

“TFC adalah pasukan yang sangat bagus tetapi hari ini kami menonjolkan prestasi yang hebat. Saya suka dengan tekanan yang diberikan kepada pemain lawan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan