AM > BERITA

KESELAMATAN JEMAAH HAJI JADI KEUTAMAAN KERAJAAN - MOHD NA’IM

20/04/2024 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan dan TH bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah negara itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji Malaysia.

“Jaminan daripada Kementerian Haji dan Umrah pada saya, mereka nak pastikan bahawa apa sahaja musibah yang berlaku, mereka ini sudah ada alternatif yang mereka akan lakukan.

“Apa yang penting untuk jemaah haji, dengan niat yang kita ada untuk menunaikan haji, kita sama-sama doakan Allah mudahkan dan beri keselamatan kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan, hari ini.

Mohd Naim berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar, untuk mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan dan suasana perang di antara Iran dan Israel.

“Maklumat yang kita terima setakat ini keadaan adalah terkawal. Saya beri jaminan di sini, kebajikan, keselamatan jemaah haji itu keutamaan kita, sama ada di peringkat kerajaan Arab Saudi, kerajaan Malaysia dan TH.

“Kita ingin pastikan keselamatan jemaah haji terjamin. TH dan kerajaan mengikuti rapat suasana di Timur Tengah dan kita akan memaklumkan kepada jemaah haji tentang perkembangan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata seramai hampir 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi, bagi memudahkan urusan para jemaah haji.

Beliau berkata kesemua petugas tersebut telah diberikan kursus sebagai persediaan sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

“Petugas TH akan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan jemaah haji tahun ini, mudah urusan mereka daripada semua aspek meliputi aspek ibadat, kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Terdahulu di dalam ucapannya Mohd Na'im mengingatkan bakal haji, supaya mempersiapkan diri sama ada daripada aspek mental, kekuatan fizikal dan kefahaman yang jelas, berhubung manasik haji yang bakal dilakukan.

Selain itu beliau turut menasihatkan bakal haji supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan melakukan senaman ringan dan mengambil makanan yang sihat, agar terus kekal sihat sepanjang berada di tanah suci.

“Pada masa sama, saya amat berharap para jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga disiplin dan sentiasa patuh kepada peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan juga Tabung Haji,” katanya.

Kursus Perdana Haji ini merupakan kursus persediaan terakhir untuk bakal jemaah haji, sebelum berangkat ke tanah suci dan dianjurkan bermula 20 April hingga 5 Mei di 17 buah lokasi terpilih seluruh negara, yang menghimpunkan seramai 31,600 bakal haji.

Kursus ini memberi lebih fokus kepada latihan praktikal manasik haji seperti tawaf, sa’ie, berwukuf dan melontar jamrah, sekali gus memberi sedikit sebanyak gambaran suasana sebenar di tanah suci.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan