AM > BERITA

TAHUN MELAWAT JOHOR 2026: PENERBANGAN TERUS DARI DAEGU, KUNMING DAN TAICHUNG DIBINCANG

21/04/2024 01:16 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Cadangan menambah laluan penerbangan dari Daegu, Korea Selatan; Taichung, Taiwan dan Kunming, China sedang dibincang dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Pengarah Tourism Johor Sharil Nizam Abdul Rahim berkata perkara itu sedang diteliti bersama oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

“Kesemua cadangan penerbangan terus ke Johor ini akan dibentang kepada kerajaan negeri setelah maklumat berkaitan perancangan ini diterima daripada semua pihak yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Tourism Johor mempunyai perancangan menambah laluan penerbangan antarabangsa sebagai persediaan Tahun Melawat Johor 2026.

Sharil Nizam berkata usaha itu juga antara lain adalah bagi menarik semula pelancong dari negara terbabit terutama Daegu dan bandar berdekatan seperti Busan di Korea Selatan yang sebelum ini sering menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan sebelum pandemik COVID-19 melanda.

“Sebelum COVID-19, memang banyak pelancong dari Korea Selatan datang ke Johor  dengan menggunakan Jin Air tetapi apabila COVID-19 melanda, ia terhenti sehingga sekarang.

“Oleh itu, kita sedang berusaha untuk menarik kedatangan mereka memandangkan di Johor juga terdapat komuniti dari Korea Selatan,’’ katanya.

Beliau berkata usaha mempromosi Johor harus dilakukan secara berterusan kerana negeri itu mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik yang perlu diketengah.

LTAS adalah antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia dengan 17 destinasi yang menghubungkan bandar domestik dan lima antarabangsa iaitu Jakarta, Surabaya, Bangkok, Ho Chi Minh City dan Canton.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini berkata kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan