AM > BERITA

KEKACAUAN DI TIMUR TENGAH PERLUKAN PENGENDALI LAPANGAN TERBANG PROAKTIF TANGANI PERUBAHAN PENERBANGAN - PAKAR

21/04/2024 06:52 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pengendali lapangan terbang harus proaktif memanfaatkan dan mengambil langkah bersesuaian bagi menangani perubahan dalam ketibaan dan pelepasan pesawat untuk mengurangkan sebarang senario kelam-kabut di lapangan terbang jika konflik Timur Tengah terus meningkat, kata pakar penerbangan.

Ini berikutan ketegangan di antara Iran-Israel baru-baru ini yang menyebabkan ruang udara Iran ditutup sementara selama beberapa hari sebelum dibuka semula semalam, dengan beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia telah mengelak daripada ruang udara itu termasuk Malaysia Airlines.

Pakar Ekonomi Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (Penerbangan dan Aeroangkasa) Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata penutupan ruang udara akan menjejaskan sebahagian trafik penumpang, terutamanya untuk destinasi yang terletak di Iran.

“Tambahan pula, penutupan itu memerlukan penerbangan dialihkan daripada laluan nominal mereka, dan menyebabkan penerbangan tidak optimum dan menjejaskan kewangan.

“Akan wujud peningkatan dalam penggunaan dan pembakaran bahan api, tempoh masa penerbangan yang meningkat, dan penjadualan semula untuk berlepas dan ketibaan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Harridon menegaskan pengendali lapangan terbang harus proaktif dengan membahagi-bahagikan bahagian operasi mereka dan menggunakan beberapa model matematik untuk mengekstrak fungsi bahagian itu.

“Dengan ini, beberapa penyelesaian boleh dihasilkan dan digunakan dengan berkesan bagi mengurangkan sebarang kenaikan kos dan (mengurangkan) implikasi kewangan,” katanya.

Beliau berkata penjadualan semula penerbangan harus mempertimbangkan pelbagai faktor seperti meminimumkan kelewatan dalam ketibaan dan pelepasan, mengurangkan masa untuk menyediakan pesawat, dan menggunakan tenaga kerja yang optimum di pintu masuk dan pintu keluar.

“Ini penting supaya proses memasukkan dan mengeluarkan penumpang menjadi pantas dan cekap serta pintu masuk ruang berlepas boleh disediakan dalam masa yang singkat untuk penerbangan masuk dan keluar seterusnya,” katanya.

Bagi syarikat penerbangan, beliau berkata mereka boleh melakukan pengoptimuman operasi penerbangan melalui pelbagai pemodelan secara matematik seperti simulasi Monte Carlo, pemodelan sumber dan lain-lain untuk mengurangkan isu itu.

“Memandangkan Iran juga merupakan negara pengeluar minyak, penutupan ruang udaranya mempunyai implikasi politik yang mana bekalan logistik minyak dan pengeluarannya akan diubah sekali gus menjejaskan harga minyak mentah,” tambahnya.

Sementara itu, Penganalisis Penerbangan dan Pengasas Endau Analytics Shukor Yusof berkata pengendali lapangan terbang seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut tertakluk kepada geopolitik.

“Apa yang berlaku kini bukan daripada bidang kuasa mereka. Mereka perlu segera merangka strategi untuk mengurangkan kerugian kerana konflik ini nampaknya akan bertambah buruk.

“Saya pasti mereka mempunyai pakar yang mahir dalam pengurusan risiko. Jika tidak, maka mereka memerlukan bantuan daripada pakar,” katanya.

Shukor percaya krisis yang berterusan di Timur Tengah akan menyebabkan kemudaratan yang besar kepada syarikat penerbangan, terutamanya penerbangan antara benua di antara Asia Tenggara dan Eropah, kerana kos bahan api dan insurans kemungkinan akan meningkat jika konflik tidak diselesaikan segera atau, lebih teruk, semakin meningkat.

“Ia akan menjejaskan keseluruhan industri penerbangan kerana ia sangat bergantung kepada kesalinghubungan global, dan sudah pasti ia akan memberi kesan kepada Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Awal minggu ini, Maybank Investment Bank Bhd mengekalkan pandangan positifnya terhadap sektor penerbangan di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di Timur Tengah, potensi kesan terhadap trafik penumpang ke dan dari rantau ini, di samping turun naik harga bahan api jet.

Bagaimanapun, ia berkata di bawah senario terburuk yang mana trafik penumpang ke dan dari Timur Tengah terhenti sepenuhnya, pendapatan MAHB diunjurkan merosot sebanyak 26 peratus pada setahun penuh, memandangkan kesan trafik penumpang di rantau itu kepada operasinya di Malaysia dan Turkiye.

Bagi Capital A, Maybank IB berkata kebimbangan utama mereka ialah kesan harga bahan api jet yang lebih tinggi kerana empat syarikat penerbangan Capital A tidak terbang ke destinasi Timur Tengah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan