AM > BERITA

PROJEK RINTIS PASANG PANEL SOLAR DI RUMAH MESRA RAKYAT, BAKAL DILAKSANAKAN SEPTEMBER DEPAN

22/04/2024 12:14 PM

MACHANG, 22 April (Bernama) -- Projek rintis untuk memasang panel solar bagi pembinaan kediaman di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), bakal dilaksanakan pada September depan.

Pengerusinya Datuk Husam Musa berkata pihaknya sudah melakukan pertemuan dan perbincangan dengan tiga syarikat, yang boleh membekalkan panel solar ini termasuk dari segi penjimatan dan logistik.

“Kita sudah mulakan perbincangan ini sejak Disember tahun lalu, bersama syarikat yang berhasrat untuk bekerjasama memasang panel solar di rumah RMR.

“Selain itu, kita juga akan meneliti kesesuaian rumah tersebut untuk memasang panel solar sama ada kawasan lapang, mempunyai tumbuhan hijau di sekeliling dan sebagainya, supaya ia dapat memberi keselesaan kepada penghuni,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan replika kunci kepada pemohon Sayed Sanusi Sayed Kadir, 51, di bawah program RMR 2.0 bagi Parlimen Machang di Kampung Bagan Bawah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata pemasangan panel solar ini dapat menjimatkam elektrik dan mampu mengurangkan beban pembeli RMR, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata SPNB menyasarkan untuk membina sebanyak 3,100 unit RMR 2.0 seluruh negara pada tahun ini.

“Bagi RMR 2.0, pemilik tidak perlu mencagar tanah dan baki bayaran RM55,000 perlu dibayar secara tunai kepada SPNB. Oleh itu, proses kelulusan jauh lebih cepat berbanding RMR 1.0 kerana tidak perlu menunggu giliran.

“Sehingga Mac, SPNB telah menerima sebanyak 58 permohonan dan sedang membina sebanyak 17 unit rumah RMR 2.0 dan satu unit telah siap dibina, sejak ia diperkenalkan Februari tahun ini,” katanya.

Beliau berkata untuk rekod bermula tahun 2002 sehingga Mac 2024, SPNB telah berjaya membina sebanyak 64,657 unit RMR di seluruh negara, dengan Kelantan mencatatkan jumlah pembinaan tertinggi iaitu 10,231 unit, diikuti Terengganu dan Johor.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan