AM > BERITA

HASRAT DUA BERADIK MILIKI RUMAH PERTAMA TERCAPAI

24/04/2024 09:31 PM

ALOR GAJAH, 24 April (Bernama) -- Hasrat dua beradik untuk memiliki rumah pertama tercapai selepas permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibuat pada Ogos tahun lepas diluluskan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada Januari tahun ini.

Muhammad Amirul Azhar, 28, berkata ibunya, Rogayah Long, 57, menjadi pendorong buat dia dan adiknya, Muhammad Amirshah, 25, untuk memohon bantuan perumahan berkenaan yang dibina di atas tanah milik ibu mereka di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini.

"Sebelum ini, saya bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal di rumah keluarga sebelum berpindah ke rumah mak mentua di Kampung Padang Sebang sejak tiga tahun lepas.

"Alhamdulillah, saya tidak menyangka dapat memiliki rumah sendiri dalam tempoh yang agak cepat dengan kadar bayaran sebanyak RM300 sebulan … rasa sangat bersyukur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan RMR Parlimen Masjid Tanah di Kampung Durian Daun di sini hari ini, yang disempurnakan Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa.

Muhammad Amirul yang merupakan penghantar barangan itu berkata kualiti rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dibina dengan kos RM75,000 itu sangat selesa buat dia, isteri Nur Hazwanee Roslan, 28, dan anak mereka Nur Ammara Haziyah, 3, untuk tinggal di kediaman itu.

Sementara itu, Muhammad Amirshah turut melahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah sendiri pada usia yang agak muda dan menjadi aset buatnya walaupun belum berkahwin.

"Sebelum ini, saya tinggal bersama ibu di rumahnya di dalam kawasan tanah sama RMR dibina, walaupun saya tinggal di rumah berlainan, tetapi masih dekat dan dapat jenguk ibu selalu," katanya yang turut bekerja sebagai penghantar barangan.

Beliau berkata inisiatif RMR yang dibangunkan SPNB itu sangat membantu mereka yang mempunyai tanah tetapi kekurangan wang untuk memiliki rumah sendiri dan berharap lebih ramai lagi mendapat manfaat daripada program itu.

Program RMR diperkenalkan SPNB sejak 2002 dan setakat Mac tahun ini, sebanyak 65,657 RMR dibina di seluruh negara dengan 3,202 unit daripadanya dibina di Melaka.

Harga bagi setiap unit RMR yang dibangunkan ialah RM75,000 dan setiap unit mendapat subsidi pembinaan sebanyak RM20,000 dengan kadar bayaran RM300 sebulan membabitkan tempoh bayaran selama 16 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan