AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA: LEBIH 3,700 RESUME DITERIMA PADA KARNIVAL KERJAYA

05/05/2024 07:39 PM

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Karnival Kerjaya sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini, menerima sambutan menggalakan apabila platform mencari pekerjaan itu sentiasa dipenuhi pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung sejak Jumaat.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKERSO) Pulau Pinang Rafidah Abdul Rahim berkata sebanyak 3,735 resume diterima dengan 108 individu telah ditawarkan pekerjaan manakala selebihnya masih dalam proses saringan.

“Kami telah sediakan 16 reruai pada Karnival Kerjaya setiap hari dan jumlah kehadiran pengunjung yang direkodkan melebihi 3,300 orang sepanjang karnival ini berlangsung.

“Karnival Kerjaya pada kali ini melibatkan 26 majikan antaranya Robert Bosch Power Tools, Penang Port Sdn Bhd dan Fuji Electrical (M) Sdn Bhd. Jumlah keseluruhan pekerjaan yang ditawarkan di sini adalah sebanyak 1,582,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Beliau berkata jenis pekerjaan ditawarkan dalam karnival itu meliputi sektor pembuatan, penginapan dan perkhidmatan, makanan dan minuman, aktiviti kewangan dan insurans serta sektor pengangkutan dan penyimpanan. 

Selain itu, Rafidah berharap Karnival Kerjaya yang akan dilaksanakan pada siri seterusnya dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pengunjung dengan penglibatan majikan dalam pelbagai industri.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang melabuhkan tirai hari ini adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 196 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan